SUKAN > BERITA

PELUANG TERBAIK HARIMAU MALAYA KEMBALI RAIH KEMENANGAN - STUART

11/11/2024 09:11 PM

PETALING JAYA, 11 Nov (Bernama) --Pasukan bola sepak negara perlu kembali mencatat kemenangan bagi menyuntik motivasi menjelang kempen Kejohanan ASEAN 2024 yang bermula bulan depan.

Pemain tengah kebangsaan Stuart Wilkin berkata dua perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 bulan ini merupakan peluang terbaik untuk skuad Harimau Malaya membuktikan keupayaan mereka meraih kemenangan.

Stuart berkata kesemua pemain kecewa apabaila dibelasah New Zealand 0-4 pada perlawanan persahabatan 14 Okt lepas dan berharap pasukan bangkit melakar kejayaan masing-masing ketika bertemu Laos di Stadium PAT, Bangkok, Khamis ini dan India di Stadium Gachibowli, Hyderabad, Isnin depan.

“Saya rasa ini adalah masa yang tepat untuk kembali ke landasan kemenangan. Saya fikir ini adalah peluang terbaik untuk membuktikan kemampuan memenangi perlawanan. Kami semua kecewa dengan keputusan menentang New Zealand tetapi mereka adalah pasukan berkualiti tinggi," katanya.

“Namun, saya yakin kami boleh bangkit dan kembali lebih kuat. Harapnya kami dapat memperoleh keputusan yang baik pada kem latihan kali ini,” kata pemain Sabah FC itu ketika ditemui sebelum sesi latihan skuad kebangsaan di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya di sini, hari ini.

Pada jendela perlawanan antarabangsa Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bulan lalu, Malaysia yang bertandang ke Auckland, seri 1-1 dengan Auckland FC dalam aksi persahabatan antarabangsa Tier 2 dan tumpas 0-4 kepada New Zealand.

Pasukan negara sebelum itu menang tigfa perlawanan berturut-turut masing-masing ke atas Lubnan 1-0 dan Filipina 2-1 ketika menjuarai Pestabola Merdeka 2024 pada September lepas, selain menundukkan Taiwan 3-1 dalam aksi pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pada Jun lepas.

Dalam kempen Kejohanan ASEAN, Malaysia yang muncul juara pada 2010 diundi dalam Kumpulan A bersama juara bertahan Thailand, Kemboja, Singapura, dan Timor-Leste.

Sementara itu, FAM dalam kenyataan hari ini memaklumkan penyerang Chonburi FC, Fergus Tierney dipanggil melapor diri ke kem latihan pusat menggantikan penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) Romel Morales yang mengalami kecederaan.

Fergus dan kapten pasukan Dion Cools akan terus menyertai skuad kebangsaan bimbingan Pau Marti Vicente di Bangkok setibanya pasukan negara di sana, esok.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan