SUKAN > BERITA

HARITH GEMBIRA COOLS KEMBALI DALAM SKUAD HARIMAU MALAYA, TERUJA BERAKSI BERSAMA

12/11/2024 03:09 PM

SEPANG, 12 Nov (Bernama) -- Pemain pertahanan muda Selangor FC Harith Haiqal Adam Afkar gembira apabila ketua pasukan Dion Cools kembali disenaraikan dalam skuad Harimau Malaya menjelang dua perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 bulan ini.

Harith yang membuat penampilan pertama dalam skuad senior ketika Malaysia tewas 0-4 kepada New Zealand bulan lepas, percaya kehadiran Cools mampu mengubah prestasi pasukan apabila bertemu Laos di Stadium PAT, Bangkok Khamis ini dan India di Stadium Gachibowli, Hyderabad Isnin depan.

Beliau berkata Cools mempunyai aura tersendiri sebagai seorang kapten dan kehadirannya dalam pasukan memberi impak positif.

“Sudah semestinya (Cools dapat ubah prestasi pasukan) sebab saya boleh katakan beliau seorang kapten yang belum pernah saya nampak sebelum ini. Jadi bila beliau ada, aura beliau (pasukan) akan jadi berbeza.

“Cara beliau ketuai kami bukan dengan cara bercakap tapi tunjuk, beliau buat dan tunjuk, itu cara yang saya rasa susah nak cari pada seorang kapten,” katanya ketika ditemui sebelum pasukan negara berlepas ke Bangkok di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 di sini hari ini.

Ketika membuat penampilan pertama dalam skuad senior bulan lepas, Harith, 22, tidak berpeluang beraksi bersama Cools yang terpaksa menarik diri daripada pasukan kerana urusan keluarga sekali gus menjejaskan prestasi pasukan terutama di bahagian pertahanan.

Justeru, Harith mengakui teruja untuk bergandingan bersama pertahanan Buriram United itu kali ini yang akan menyertai skuad bimbingan Pau Marti Vicente setibanya mereka di Bangkok.

“Kalau diberi peluang dapat bergandingan dengan Dion (Cools), saya rasa pengalaman itu akan bertambah baik. Walaupun tak pernah bermain bersama, tapi kami pernah berlatih dalam kem-kem latihan sebelum ini, beliau seorang pemain yang sangat bagus, berkualiti dan mempunyai kepimpinan yang sangat bagus,” katanya.

Dalam pada itu, Harith turut gembira dengan kehadiran lebih ramai bekas rakan sepasukannya di skuad Bawah 23 Tahun (B-23) dalam pasukan kali ini, antaranya Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazili, sambil menyifatkan ini peluang terbaik mereka menimba pengalaman berharga.

Aksi menentang Laos dan India bulan ini juga menjadi medan Vicente mempersiapkan pasukan untuk menghadapi Kejohanan ASEAN 2024 yang dijadual bermula bulan depan.

Malaysia yang muncul juara pada 2010 diundi dalam Kumpulan A bersama juara bertahan Thailand, Kemboja, Singapura dan Timor-Leste.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan