JOHOR BAHRU, 13 Nov (Bernama) --Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail memuji Pengerusi Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) Erick Thohir kerana telah memartabatkan pasukan kebangsaan republik itu.
Menerusi hantaran di Facebook rasmi Tunku Mahkota Ismail, baginda turut yakin bahawa ada masa depan yang menarik untuk bola sepak ASEAN.
Terdahulu, baginda mengadakan pertemuan dengan Erick, pemilik Kelab Persib Bandung Glenn Sugita dan pemilik Kelab Valencia CF Peter Lim di Singapura, semalam.
Menurut hantaran itu, pertemuan tersebut tertumpu kepada senario bola sepak serantau terutamanya perkembangan dan pengurusan kelab bola sepak serta langkah-langkah untuk meningkatkan tahap sukan berkenaan di rantau Asia, khasnya di negara-negara ASEAN.
Sementara itu, Erick menerusi hantaran di laman X turut berkongsi berhubung pertemuan bersama Tunku Mahkota Ismail dan memaklumkan bahawa baginda mempunyai visi besar untuk bola sepak Asia Tenggara, bahkan Asia.
“Bertemu dengan Putra Mahkota Johor, Mayor Jenderal Tunku Ismail Idris Ibni Sultan Ibrahim yang juga pemilik klub raksasa Malaysia, Johor Darul Ta’zim. Beliau punya visi besar untuk sepak bola Asia Tenggara bahkan Asia.
“Sangat menarik berdiskusi dengan beliau tentang kualitas sepak bola di negara-negara Asia Tenggara. Kami ingin negara di Asia Tenggara bisa bersaing di level Asia bahkan hingga level dunia,” menurut hantaran itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial