SUKAN > BERITA

PIALA SKUASY MALAYSIA: EAIN YOW MELANGKAH KE SEPARUH AKHIR

15/11/2024 08:53 PM

PETALING JAYA, 15 Nov (Bernama) -- Pemain skuasy lelaki negara, Ng Eain Yow melangkah ke separuh akhir selepas mengetepikan Bernat Jaume dari Sepanyol pada pusingan suku akhir Piala Skuasy Malaysia 2024 di Mutiara Damansara, di sini hari ini. 

Beraksi dalam gelanggang kaca di pusat beli-belah The Curve, Eain Yow membuktikan kehebatannya sebagai pilihan kedua kejohanan peringkat gangsa itu dengan hanya memerlukan 48 minit untuk menundukkan pilihan kelapan Jaume 11-7, 11-8, 11-8.

Pemain ke-14 dunia itu berkata beliau berasa lebih tenang dalam permainan hari ini berbanding perlawanan pusingan kedua semalam apabila menewaskan pemain Amerika Syarikat Shahjahan Khan 11-5, 11-8, 11-2.

“Saya rasa hari ini saya dapat mengatasi isu yang saya mahu (tangani) dan penamat saya lebih baik berbanding semalam.

“Saya berasa sangat selesa dan yakin hari ini, walaupun jarak mata agak rapat,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan.

Menanti Eain Yow dalam pusingan empat terbaik ialah pemain India Abhay Singh yang menewaskan rakan senegara Velavan Senthilkumar 12-14, 11-5, 12-10, 11-8 dalam 71 minit. 

Eain Yow, 26, berkata beliau optimis mampu menjejakkan kaki ke final sekiranya beliau bermain dengan lebih bersemangat ketika menentang pemain bukan pilihan itu. 

Sementara itu, selepas kalah 3-11 dalam set pertama kepada pemain England Katie Malliff, pemain wanita negara dan pilihan ketiga Rachel Arnold bangkit untuk menundukkan pilihan kelima itu 11-2, 13-11, 13-11, sekali gus menempah tempat di separuh akhir.

“Saya bermula perlahan dalam set pembukaan, mungkin saya belum bersedia (untuk bermain) tetapi saya mula meningkatkan kelajuan, permainan jadi lebih baik,” katanya.

Dalam pada itu, pilihan kedua dari Mesir, Amina Orfi, yang mengatasi rakan senegara Kenzy Ayman, 11-6, 11-2, 11-5, menanti pemain ke-20 dunia itu esok.

Mengetahui bahawa Amina gemar bermain permainan pantas, Rachel, 28, merancang untuk memperlahankan rentak dan lebih banyak bermain secara rali.  

Edisi kedua Piala Skuasy Malaysia yang berakhir Ahad ini menawarkan hadiah berjumlah AS$64,000 (kira-kira RM286,000) bagi setiap kategori lelaki dan wanita.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan