SUKAN > BERITA

FAM KUNCI MULUT SPEKULASI CAHILL SERTAI REVOLUSI HARIMAU MALAYA

16/11/2024 07:02 PM

PETALING JAYA, 16 Nov (Bernama) -- Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengambil pendekatan mengunci mulut berhubung spekulasi legenda bola sepak Australia Tim Cahill akan menjadi sebahagian daripada unit khas yang bakal diwujudkan badan induk itu.

Setiausaha Agung FAM Datuk Noor Azman Rahman ketika diajukan soalan mengenai spekulasi itu, tidak mengeyakan ataupun menafikannya.

“Tiada komen, kita tunggu,” katanya ringkas ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Kopi Pablo Dollah milik legenda bola sepak negara Datuk Dollah Salleh di sini hari ini.

Sebelum ini, banyak pihak mengaitkan bekas pemain tengah Everton itu bakal terlibat dalam revolusi skuad Harimau Malaya melalui penubuhan unit khas yang antaranya bertujuan memantau prestasi dan menguruskan pasukan bola sepak negara secara khusus.

Ia susulan terdapat gambar beliau bersama Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Pegawai Eksekutif Johor Darul Ta’zim (JDT) Alistair Edwards yang dimuat naik di Facebook rasmi Tunku Mahkota Ismail pada Ogos lepas.

Selain merupakan ikon dan duta Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Cahill turut dilantik sebagai Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Qatar (Qatar FA) dan Ketua Pegawai Sukan Akademi Aspire di Qatar.

Mengulas lanjut, Noor Azman berkata pengumuman mengenai unit khas itu akan dibuat bulan depan.

Sebagai rekod, bulan lepas Timbalan Presiden FAM Datuk Mohd Yusoff Mahadi mengesahkan badan induk itu tidak akan menswastakan skuad Harimau Malaya sebaliknya mewujudkan satu unit baharu bagi memantau prestasi dan menguruskan pasukan negara, termasuk untuk skuad bawah 23 tahun.

Beliau dipetik sebagai berkata, tujuan mewujudkan unit itu antara lain bagi menjaga kebajikan dan persembahan pasukan kebangsaan ke arah lebih baik, selain memastikan peruntukan diterima hanya untuk kegunaan pasukan terlibat.

Mohd Yusoff berkata idea penubuhan unit itu dicetuskan oleh Tunku Mahkota Ismail ketika pertemuan baginda bersama Perdana Menteri.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan