SUKAN > BERITA

ISN TEROKA TEKNOLOGI AI, PROJEK PERINTIS BAKAL PACU PERUBAHAN SUKAN DI MALAYSIA

17/11/2024 11:19 AM

Oleh Amiril Muttaqien Meketar dan Muhammad Zulkarnain Mohd Azman

KUALA LUMPUR, 17 Nov (Bernama) -- Kemajuan sains, perubatan dan teknologi sukan dalam negara tidak mungkin berlaku tanpa reputasi gah dimiliki Institut Sukan Negara (ISN).

Sejak ditubuhkan pada 2016, agensi di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) itu memainkan peranan penting dalam membentuk atlet di peringkat akar umbi hingga bertaraf dunia menerusi perkhidmatan khususnya melibatkan teknologi sains sukan.

Saban tahun, ISN sering melakukan inovasi menerusi kepakaran dimiliki bagi melahirkan atlet lebih berdaya saing selain memantapkan lagi fungsi mereka menjadi antara tonggak kecemerlangan sains dan perubatan sukan tanah air.

Bagi mendepani dinamika sukan yang lebih mencabar ketika ini, ISN sudah pastinya tidak mahu ketinggalan dan mengorak langkah lebih jauh dengan mengadaptasi teknologi kecerdasan buatan (AI) sekali gus memastikan mereka kekal relevan dengan peredaran zaman.

Ketua Pegawai Eksekutif ISN Ahmad Faedzal Md Ramli berkata ISN sedang membangunkan projek perintis yang dikuasakan teknologi sistem aplikasi AI menerusi rakaman video melibatkan beberapa sukan termasuk sukan terjun.

Mengakui bahawa sistem serta aplikasi sedia ada dalam menganalisis prestasi atlet masih boleh ditambah baik, Ahmad Faedzal yakin teknologi AI berupaya membantu pegawai ISN serta jurulatih mendapatkan analisis yang lebih terperinci serta pantas.

“Walaupun rakaman video tersebut berdurasi beribu jam, namun menerusi sistem ISN yang dikuasakan AI dapat membantu mempercepatkan proses analisis kami.

“Dalam sukan berprestasi tinggi terutamanya, setiap saat sangat kritikal dan kami percaya penerapan AI menerusi data langsung yang diperoleh boleh beri impak positif sama ada dari segi taktikal, teknikal, strategi dan seterusnya memberi kesan terhadap keputusan perlawanan,” katanya dalam satu temu bual eksklusif bersama Bernama.

Bagi sukan terjun, beliau berkata rakaman video yang menggunakan teknologi AI membantu penganalisis prestasi dan jurulatih memantau prestasi penerjun terutamanya dari segi penyempurnaan darjah kesukaran dilakukan sama ada ketika pertandingan mahupun sesi latihan.

Selain memantau prestasi atlet menerusi AI, Ahmad Faedzal berkata pihaknya juga sedang menumpukan kepada meneroka aspek teknologi biomekanik dalam sukan berbasikal trek.

Beliau berkata ini termasuk potensi menjadikan velodrom berbasikal sebagai makmal teknologi AI dengan menggunakan pengesan dan perisian bersesuaian yang mampu mengintegrasi data dikumpul bagi menganalisis prestasi atlet berbasikal trek.

Dengan maklumat yang diperoleh melalui AI, beliau berkata jurulatih dan pasukan sokongan dapat memahami prestasi semasa atlet dengan lebih tepat dan cepat.

Sekiranya projek dibangunkan itu berjaya,  Ahmad Faedzal tidak menolak kemungkinan untuk meluaskannya bagi aspek komersial pada masa depan selain sentiasa melihat trend digunakan di peringkat global bagi memastikan Malaysia tidak ketinggalan dalam teknologi AI.

Ahmad Faedzal pada masa sama mempunyai visi menjadikan Malaysia sebagai hab teknologi AI sukan di Asia Tenggara menjelang 2030.

Beliau juga memaklumkan perancangan dilakukan ISN bertepatan dalam menyokong usaha kerajaan mempromosikan AI kepada masyarakat seterusnya membangkitkan kesedaran kepada rakyat Malaysia berhubung kewujudan teknologi canggih tersebut dalam sukan.

Dalam membawa ISN terus menjadi pemacu dalam teknologi sukan, Ahmad Faedzal berkata pihaknya sentiasa terbuka untuk memperkasakan pendekatan lautan biru menerusi jaringan kerjasama dengan para pemain industri serta universiti tempatan dan antarabangsa bagi memantapkan ekosistem teknologi AI dalam sukan.

Menyedari banyak pihak di luar melaksanakan penyelidikan dalam teknologi sukan sama ada dalam industri atau universiti, beliau optimis usaha bersama yang dilakukan termasuk inovasi dicipta dapat membawa dimensi baharu dalam program persediaan atlet termasuk di peringkat akar umbi dan pemupukan budaya bersukan dalam kalangan masyarakat.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan