SUKAN > BERITA

PUSINGAN AKHIR LWN 2024 DI STADIUM BUKIT JALIL

19/11/2024 06:46 PM

KUALA LUMPUR, 19 Nov (Bernama) -- Liga Wanita Nasional (LWN) 2024 mencatat sejarah yang tersendiri apabila buat julung kalinya pusingan akhir pertandingan itu bakal diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada 21 Dis ini.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam kenyataan hari ini memaklumkan liga ini membuka peluang kepada pemain bolasepak wanita beraksi di padang berkenaan.

Mengikut kenyataan itu, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh telah beri komitmen agar pemain wanita kebangsaan dan kelab dapat menjalani latihan di SNBJ sebagai langkah untuk menyamaratakan peluang dan akses kepada fasiliti terbaik negara, sama seperti yang diberikan kepada pasukan bola sepak lelaki kebangsaan Harimau Malaya. 

“LWN akan berlangsung di SNBJ setiap tahun mulai tahun ini. 

“Pemain bola sepak wanita untuk kelab dan kebangsaan akan menjalani sesi latihan di padang yang sama sekiranya perlawanan diadakan di Bukit Jalil,” kata kenyataan itu.

Malah KBS berharap, dengan memberi peluang dan ruang bagi skuad bola sepak wanita kebangsaan bermain di SNBJ, ia dapat meningkatkan semangat juang pasukan Malaysia.

“KBS juga akan terus berusaha untuk mengurangkan jurang yang wujud antara pasukan wanita dan lelaki sebelum ini. Kita Semua Team MAS,” menurut kenyataan itu lagi.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan