SUKAN > BERITA

ISTAF CADANG KURANGKAN PENGADIL MENERUSI TEKNOLOGI BAHARU

21/11/2024 06:15 PM

KUALA LUMPUR, Nov 21 (Bernama) -- Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) bakal membawa cadangan untuk mengurangkan jumlah pengadil dalam perlawanan serta memberikan pengadil kuasa untuk memanggil challenge (cabaran) sebagai langkah penambahbaikan.

Setiausaha Agung ISTAF Datuk Abdul Halim Kader berkata beliau akan membawa cadangan untuk menghapuskan penggunaan pengadil garisan ketika mesyuarat exco badan induk sepak takraw dunia itu pada tahun depan, dalam usaha meningkatkan penggunaan teknologi. 

Beliau berkata mengikut peraturan sekarang, sebanyak enam pegawai diperlukan untuk mengadili satu-satu perlawanan, yang membebankan pihak penganjur.

“Sebagai contoh untuk Sukan SEA, perlukan sekurang-kurangnya 35 pengadil dengan kos penerbangan, makan minum, tempat tinggal dan elaun harian ditanggung tuan rumah sepanjang pertandingan. Ini boleh membebankan mereka. 

“Pasukan teknikal kita sedang berada di Jerman untuk membincangkan teknologi baharu ini, mungkin kita akan mencuba sistem dan peralatan baharu ini di Kejohanan Dunia akan datang. Apabila kita guna sistem ini, kita akan juga beri peluang kepada pengadil untuk memanggil challenge ,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Abdul Halim menjelaskan bahawa buat masa ini, hanya jurulatih pasukan boleh meminta pengadil untuk melihat balik keputusan, tetapi menerusi cadangan baharu itu, pengadil utama sendiri boleh merujuk keputusan yang samar, sekali gus boleh meningkatkan kualiti pengadilan. 

“Berdasarkan statistik dalam kejohanan utama tahun ini, termasuk Piala Dunia ISTAF di Malaysia dan Piala Raja Thai, pembalikan (keputusan pengadil selepas challenge) membimbangkan. Kami juga akan meningkatkan pendidikan pengadil,” katanya. 

Namun, kelemahan besar dalam sistem sekarang ialah pasukan tetap hilang challenge mereka walaupun keputusan pengadil adalah salah, berbanding badminton bilamana pemain akan kekalkan challenge jika keputusan pengadil salah. Setiap pasukan mempunyai dua challenge dalam satu-satu perlawanan sepak takraw. 

Sementara itu, Timbalan Presiden ISTAF Muhammad Fariq Halim berkata, penggunaan sistem itu dapat membantu penganjur mengurangkan kos penganjuran kejohanan, sekali gus meningkatkan jumlah kejohanan melibatkan pelbagai peringkat umur. 

“ISTAF tak nak sewakan, kita perlu menyokong negara anggota, kita tidak akan membebankan ahli dengan menyewa peralatan ini. ISTAF akan mencari wang untuk beli, bekerjasama dengan rakan kongsi, untuk memastikan sistem ini tersedia untuk semua negara anggota.

“Kita akan mulakan dengan kejohanan yang mendapat kelulusan ASTAF (Persekutuan Sepaktakraw Asia) dan ISTAF, kemudian mungkin boleh digunakan pada kejohanan tempatan juga,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan