SUKAN > BERITA

NOVA MAHU LAHIR LEBIH RAMAI BEREGU CAMPURAN BERKELAS DUNIA

26/11/2024 01:40 PM

KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Jurulatih beregu campuran negara Nova Widianto tidak mahu terlalu selesa dengan peningkatan prestasi yang ditunjukkan pasangan Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin.

Sebaliknya, Nova berkata perkembangan itu adalah langkah positif bagi sektor beregu campuran, sekali gus bakal memberikan persaingan sihat kepada Chen Tang Jie-Toh Ee Wei.

Jurulatih kelahiran Indonesia berkenaan berkata beliau bertekad untuk melahirkan lebih ramai pasangan beregu campuran bertaraf dunia.

“Saya rasa ini bagus kerana selepas ini mereka ada rakan sepelatih yang sama tahap dan ada persaingan. 

“Mungkin selepas ini kita berharap ada tiga atau empat lagi pasangan pada tahap tertinggi supaya kita boleh setaraf dengan China,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan pasukan negara di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di sini hari ini.

Nova ketika diminta mengulas prestasi Pang Ron-Su Yin pada Masters China 2024 baru-baru ini berkata beliau gembira dengan persembahan yang ditampilkan terutama selepas bergelar naib juara pada kejohanan berkenaan.

Beliau berkata faktor pengalaman, terutama Su Yin yang masih muda menjadi punca pasangan berkenaan terlepas kejuaraan pertama mereka untuk musim ini.

“Su Yin masih muda dan keyakinannya mungkin masih belum cukup manta. Jadi saya harap mereka boleh bermain dengan lebih baik pada kejohanan selepas ini,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan