SUKAN > BERITA

PABM MANTAPKAN SKUAD KEBANGSAAN, MAHU TAMATKAN KEMARAU EMAS SUKAN SEA

26/11/2024 06:03 PM

KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) memantapkan lagi skuad kebangsaan dengan membawa masuk 15 atlet baharu selain mengikat khidmat jurulatih Edmund Yeo secara sepenuhnya pada tahun depan.

Naib Presiden PABM Amirul Hamizan Ibrahim berkata usaha itu antara lain bertujuan untuk menamatkan kemarau pingat emas Sukan SEA selama dua dekad pada edisi Thailand, hujung tahun depan. 

Amirul yang merupakan pemenang pingat emas Sukan SEA dan Sukan Komanwel menjelaskan bahawa Edmund yang sebelum ini membantu skuad kebangsaan dengan status pinjaman daripada Sarawak, akan ditawarkan kontrak selama dua tahun bermula 1 Jan depan dengan kadar gaji baharu. 

“Antara KPI (petunjuk prestasi utama) beliau adalah emas Sukan SEA. Beliau telah jalankan tugas yang baik, Mohamad Aniq Kasdan selesa di bawah kendalian beliau (hingga menduduki tempat keempat di Olimpik Paris) manakala Muhamad Aznil Bidin dan Muhammad Erry Hidayat pamerkan peningkatan yang baik. 

“Kita dah berbincang dengan Sarawak, mereka pun bersetuju atas dasar kepentingan negara. Norshah Rizal Ruslan dan jurulatih wanita, Nur Jannah Batrisyah akan membantunya mengendalikan pasukan pelapis,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat jawatankuasa kerja bersama Majlis Sukan Negara (MSN) di sini, hari ini.

Kali terakhir skuad angkat berat negara meraih emas Sukan SEA adalah pada 2005 di Filipina, apabila Che Mod Azrol Che Mat mengungguli kategori atas 105 kilogram (kg) lelaki dengan angkatan keseluruhan 350kg.

Sementara itu, Amirul berkata atlet baharu yang dipilih ke pasukan kebangsaan, iaitu lima bagi Program Podium dan lapan untuk Program Pelapis, akan dipanggil menyertai kem latihan di MSN Bukit Jalil bermula Januari ini.

Beliau berkata barisan atlet itu yang berusia 23 tahun ke bawah, dipilih berdasarkan prestasi dipamerkan pada Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak dan Kejohanan Kebangsaan.

“Kita ambil atlet yang berpotensi untuk meraih pingat di temasya Sukan SEA dan Sukan Komanwel. Cuma, kita nak minta sedikit masa kerana tahun depan baru kita memasukkan mereka ke dalam skuad kebangsaan dan gilap bakat mereka.

“Mungkin tidak akan bergantung kepada Aznil dan Aniq sahaja…Mungkin selepas ini kita akan ada muka-muka baharu yang lebih hebat,” katanya. 

Badang Perlis Muhammad Hafizuddin Roslin, yang memecah rekod kebangsaan sebanyak lapan kali bagi kategori 81kg lelaki di SUKMA Sarawak, antara yang dikatakan terus dipilih ke Program Podium. 

Antara tugasan utama badang negara selepas ini ialah Piala Dunia di Manama, Bahrain bermula 6-15 Dis serta Kelayakan Komanwel di India pada 2025, yang masih belum ditetapkan tarikh, katanya. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan