ISKANDAR PUTERI, 1 Dis (Bernama) -- Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail perkenan penganjuran bersama acara bola sepak Sukan SEA 2027, diadakan di Johor.
Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Mohd Hairi Mad Shah berkata perkenan itu, disampaikan ketika beliau menghadap baginda Khamis lepas.
Sehubungan itu beliau berkata kerajaan negeri akan mengemukakan permohonan rasmi kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS), minggu hadapan.
“Bagaimanapun, lokasi venue akan dimaklumkan kemudian selepas perbincangan diadakan antara Sekretariat Sukan SEA 2027, KBS serta Majlis Sukan Negeri Johor.
“Begitu juga soal kos bagi menganjurkan acara sukan berkenaan. Apabila keputusan diperoleh kita akan maklumkan,” katanya pada sidang media di luar persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di sini hari ini.
Rabu lepas, Mohd Hairi dilapor berkata kerajaan Johor berhasrat menjadi penganjur bersama Sukan SEA 2027 dengan menawarkan beberapa venue bagi acara sukan bola sepak.
Mohd Hairi dipetik berkata tawaran itu dibuat, kerana Johor mempunyai fasiliti sukan bola sepak yang baik dengan akses terus bukan sahaja ke Kuala Lumpur, tetapi juga ke Singapura.
Semalam, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh dilapor berkata KBS sedang menunggu pengesahan rasmi daripada kerajaan Johor untuk menjadi penganjur bersama Sukan SEA 2027 bagi sukan bola sepak.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Ling Tian Soon dalam sidang media berasingan hari ini berkata sampel makanan telah diambil melibatkan kes keracunan makanan 13 murid Sekolah Rendah Agama Bersepadu Muar, Rabu lepas.
Beliau berkata beberapa sampel makanan tengah hari yang dijual di kantin sekolah itu telah diambil, termasuklah bubur.
“Keputusan sampel makanan dijangka akan diperoleh dalam minggu ini,” katanya sambil memberitahu semua murid terlibat berada dalam keadaan stabil.
Media sebelum ini melaporkan 13 murid sekolah itu yang terdiri daripada murid darjah satu hingga darjah enam, telah menerima rawatan sebagai pesakit luar di klinik, hospital dan hospital swasta dipercayai akibat keracunan makanan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial