SUKAN > BERITA

JALUR GEMILANG TERBALIK PADA JERSI ZII JIA, PERMOHONAN MAAF MEMADAI - HANNAH

19/12/2024 12:38 PM

PUTRAJAYA, 19 Dis (Bernama) -- Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh menyifatkan pemohonan maaf daripada pihak penaja Lee Zii Jia, Victor berhubung isu Jalur Gemilang terbalik pada jersi pemain itu sudah memadai dan enggan memanjangkan isu berkenaan.

Hannah berkeyakinan bahawa Zii Jia tidak berniat untuk menghina negara namun menggesa pengurus dan atlet lain agar mengambil serius isu itu bagi mengelakkan kesilapan sama berulang di masa hadapan.

“Buat masa sekarang, isu Zii Jia seperti yang saya katakan permohonan maaf telah dikeluarkan oleh Victor. Saya belum semak (jika Zii Jia dan pasukannya telah mengeluarkan permohonan maaf) sejak kejadian itu dan bagi saya, buat masa ini ia telah memadai.

“Majlis Sukan Negara (MSN) telah ditugaskan untuk menyiasat perkara ini dan menyediakan draf untuk saya lihat dan kami akan maklumkan (mengenai garis panduan bagi memastikan isu seumpama itu tidak berulang),” katanya selepas Sidang Media Dana Sukan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) 2025 di sini hari ini. 

Sementara itu, beliau juga mendedahkan bahawa pasukan LZJ (Team LZJ) sedang menantikan pertemuan dengan beliau berhubung program Road to Gold (RTG) yang dijadual diadakan pada Januari ini.

Zii Jia menjadi tumpuan kontroversi apabila beliau memakai jersi dengan bendera Malaysia dijahit terbalik ketika beraksi dalam Jelajah Dunia Akhir Persekutuan Badminton Dunia (BWF) di Hangzhou, China baru-baru ini.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai pertemuan dengan jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang, Hannah berkata ia kemungkinan diadakan tahun depan memandangkan semua orang sedang berehat menjelang akhir tahun. 

Sebelum ini, MSN memberi tempoh hingga 31 Dis ini kepada Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) untuk mengesahkan penyertaan Mohd Azizulhasni dalam Program Podium tahun depan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan