SUKAN > BERITA

E-SUKAN: TIADA STADIUM BAHARU DIBINA - HANNAH

19/12/2024 04:01 PM

PUTRAJAYA, 19 Dis (Bernama) -- Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh memaklumkan tiada stadium baharu akan dibina sebaliknya satu daripada kemudahan di KL Sports City, Bukit Jalil akan dijadikan pusat e-sukan.

“Satu stadium di Bukit Jalil akan kita tukar bukan bina baharu dan bagi e-sukan, memang hasrat kita untuk membantu membina pasukan wanita. Ada juga pasukan warga emas telah ditubuhkan.

“...bukan dekat Axiata Arena...di KL Sports City dan Perbadanan Stadium Malaysia sedang mengusahakannya. Bagi kita masa, saya tidak mahu umumkan dulu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata Kementerian Belia dan Sukan (KBS) juga sedang menumpukan pada pembangunan atlet terutama di sekolah bagi menggalakkan lebih ramai kanak-kanak terlibat dalam e-sukan.

Sementara itu pada Sidang Media Dana Sukan KBS 2025, melalui peruntukan RM30 juta yang disalurkan, Hannah berkata bermula tahun depan, pihaknya mengehadkan permohonan Geran Padanan Sukan (GPS) kepada persatuan sukan sahaja berbanding terbuka kepada syarikat seperti sebelum ini.

Beliau berkata langkah berkenaan bagi memberi ruang kepada persatuan sukan untuk membuat permohonan lebih daripada sekali.

Menurut Hannah, setiap pemohonan boleh mengemukakan permohonan beberapa kali dengan syarat hanya satu kelulusan akan dipertimbangkan untuk setiap jendela manakala kelulusan permohonannya seterusnya akan diberikan setelah laporan lengkap dan bayaran tuntutan terdahulu telah disempurnakan.

“Penyaluran peruntukan GPS ini adalah secara tuntutan bayaran balik selepas program selesai dilaksanakan dengan jumlah pembiayaan hingga 50% daripada kos keseluruhan program atau maksimum RM1 juta (tertakluk kepada terma dan syarat). 

“Kita juga mahu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) atau Persatuan Badminton Malaysia (BAM) turut memohon supaya pertandingan yang mereka anjurkan ada ranking untuk atlet kita,” katanya. 

Selain itu, beliau memaklumkan terdapat juga dana lain iaitu Dana Sukan Komuniti (DSK) dan Kumpulan Wang Amanah Sukan Negara (KWASN) dengan kementeriannya menetapkan semua pertandingan antarabangsa dianjurkan di Malaysia perlu mendapat kelulusan sebelum dilaksanakan. 

Ia selari dengan Seksyen 33 Akta Pembangunan Sukan Negara 1997 iaitu kebenaran bertulis Menteri perlu diperoleh sebelum membuat tawaran atau menawarkan diri untuk menjadi tuan rumah bagi apa-apa pertandingan atau acara sukan antarabangsa di Malaysia.

Bagi 2025, jendela permohonan dan pelaksanaan untuk GPS dan DSK yang pertama akan diadakan dari 1 hingga 28 Feb 2025 manakala KWASN pula bermula  1 Jan-28 Feb.

Orang ramai boleh melayari laman web KBS https://www.kbs.gov.my/utama-kwasn untuk mendapatkan maklumat terperinci mengenai permohonan tersebut

Hannah turut mengingatkan orang ramai supaya tidak menggunakan khidmat runner kerana KBS dan mana-mana agensi di bawahnya tidak mengenakan sebarang caj, komisen atau fi untuk permohonan atau kelulusan dana sukan ini.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan