SUKAN > BERITA

BWF GANTUNG LIEW DAREN, JERRY GAN KERANA PERTARUHAN

20/12/2024 09:40 PM

KUALA LUMPUR, 20 Dis (Bernama) -- Persekutuan Badminton Dunia (BWF) telah menggantung bekas pemain perseorangan lelaki negara Liew Daren dan bekas penganalisis prestasi Institut Sukan Negara (ISN) Jerry Gan, selepas mereka didapati bersalah terbabit dalam kegiatan pertaruhan.

Daren dikenakan hukuman penggantungan selama 12 bulan manakala Jerry Gan digantung selama tiga bulan.

Dalam kenyataan rasmi hari ini, BWF mengesahkan Daren terbabit dalam aktiviti pertaruhan dari 2018 hingga 2021 dan berusaha menghalang siasatan dengan menyembunyikan maklumat.

Menurut BWF keputusan itu diumumkan oleh Panel Pendengaran Bebas (IHP) selepas mendengar kes pada 15 Nov lepas.

Sementara itu, Jerry mengakui penglibatannya dalam pertaruhan dan kegagalannya melaporkan pembabitan Daren dalam kegiatan tersebut.

“Bukti yang dikemukakan termasuk rekod panggilan telefon, dokumen kewangan dan perbualan yang menunjukkan penglibatan mereka dalam aktiviti haram ini,” menurut BWF.

Pendengaran kes tersebut diadakan pada 6 hingga 7 Jun, di mana panel mendapati Daren terbabit dalam pertaruhan, mengawal akaun pertaruhan dan menyembunyikan maklumat penting daripada BWF.

Daren juga memilih untuk tidak mengemukakan bukti langsung dalam perbicaraan itu. Panel turut tidak ragu bahawa Daren telah meletakkan pertaruhan dalam kejohanan badminton di Sukan Olimpik Tokyo 2020.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan