KUALA LUMPUR, 24 Dis (Bernama) -- Tiada sambutan Ambang Tahun Baharu 2025 yang khusus buat bintang muda berbasikal trek wanita negara Nurul Izzah Izzati Mohd Asri yang kini terus sibuk menjalani latihan di Velodrom Nasional Nilai demi memastikan azam ‘menawan’ kejohanan Eropah tahun hadapan dapat direalisasikan sebaik mungkin.
Menyifatkan kejayaan merangkul dua emas di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2024 di New Delhi dan layak ke Sukan Olimpik Paris 2024 secara merit sebagai detik paling manis tahun ini yang terus meningkatkan keyakinannya untuk terus berjaya berkat bimbingan jurulatih dan sokongan rakan sepasukan.
Pelumba berusia 21 tahun itu mengakui untuk menjadi antara yang terbaik di dunia, ia memerlukan pengorbanan besar dengan beliau kini menjadikan setiap kejohanan disertai sebagai pengalaman berharga untuk lebih bersinar pada masa hadapan.
“Tiada musim rehat bagi saya sehingga Februari dan untuk 2025, fokus saya sebenarnya adalah Sukan SEA, namun dengan ketiadaan pelumba wanita dalam acara sprint, seakan tiada cabaran besar untuk tahun depan.
“Tapi jurulatih ada menyatakan mahu saya mengumpul lebih banyak pengalaman dengan membawa saya ke kejohanan antarabangsa seperti Piala Dunia dan kejohanan kecil di Eropah. Beliau tetap berusaha untuk membawa saya beraksi di tahap lebih tinggi dan bersaing dengan pelumba terbaik dunia,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Nurul Izzah Izzati yang mula terlibat dalam dunia basikal pada usia 11 tahun dan beralih ke pecut trek pada 2022 enggan menetapkan jangka masa buatnya mencapai kematangan sepenuhnya, sebaliknya mahu mengikut jejak "The Pocket Rocketman” yang sinonim dengan Datuk Azizulhasni Awang yang ‘membuka’ ruang untuk sukan itu dikenali ramai.
Beliau mengakui akan berdepan dengan sedikit tekanan untuk meneruskan legasi Azizulhasni sekiranya benar ‘khabar angin’ mengenai jaguh negara itu akan mengucapkan selamat tinggal kepada dunia berbasikal.
“Memang ada sedikit tekanan sebab sebelum ini semuanya bergantung pada dia, tapi sekarang kami pun tidak tahu kata putus daripadanya. Kami tak tahu sama ada dia akan teruskan atau tidak sebab dia dah lama dalam dunia basikal. Memang ada rasa tekanan kalau dia tak ada, siapa lagi yang akan sumbangkan pingat untuk Malaysia kan?
“Bagi saya itu adalah tanggungjawab masing-masing. Saya perlu fokus pada apa yang perlu saya lakukan dan bagaimana saya nak terus maju. Apa yang dia dah buat untuk Malaysia adalah antara yang terbaik dan itu semua boleh kita jadikan pengajaran. Kita ambil yang baik semua laluan sudah beliau buka,” katanya yang akan menjalani latihan setiap hari kecuali Ahad.
Nurul Izzah Izzati mencipta sensasi apabila menamatkan kemarau 12 tahun tanpa emas dalam acara keirin di ACC 2024 di New Delhi, India sebelum melengkapkan kejayaan cemerlangnya dengan meraih emas dalam acara 500 meter ujian masa pada kejohanan sama.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial