SUKAN > BERITA

TEKANAN SEMAKIN DIRASAI JUN HAO MENJELANG DEBUT TERBUKA MALAYSIA

06/01/2025 03:41 PM

KUALA LUMPUR, 6 Jan (Bernama) -- Ketiadaan pemain profesional negara Lee Zii Jia membuatkan tumpuan kini beralih kepada Leong Jun Hao untuk menggalas harapan tunggal negara dalam acara perseorangan lelaki pada Terbuka Malaysia 2025 yang bermula esok hingga Ahad ini.

Jun Hao yang membuat penampilan sulung pada Terbuka Malaysia, mengakui tekanan semakin dirasai apabila melangkah ke gelanggang di hadapan ribuan penyokong tuan rumah di Axiata Arena.

"Tekanan pasti ada kerana saya satu-satunya wakil, saya akan berbincang dengan jurulatih cara untuk kurangkan tekanan itu.

"Saya rasa tekanan itu ada di mana-mana, baik di laman sendiri mahupun di luar negara, namun di sini lebih tinggi dan harap dapat kurangkannya," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada sesi ujian gelanggang di sini hari ini.

Menurut kenyataan yang dimuat naik pasukan LZJ dalam media sosial minggu lepas, Zii Jia, 26, terpaksa menarik diri daripada aksi Terbuka Malaysia 2025 kerana masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan ligamen semasa perlawanan akhir Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) bulan lepas. 

Jun Hao berkata beliau tidak sabar untuk beraksi dalam kejohanan Super 1000 pertamanya dan berharap dapat menjadi lebih konsisten dalam perlawanan peringkat tinggi pada masa akan datang.

Mengulas cabaran pertama beliau menentang pemain nombor 16 dunia Lu Guang Zu, atlet berusia 25 tahun itu menyifatkan pemain China berkenaan sebagai lawan yang sangat sukar walaupun mereka belum pernah bertemu sebelum ini.

"Memang sukar, tahun lepas beliau menang dengan Zii Jia (pada pusingan pertama), jadi saya akan membuat persediaan terbaik untuk menentangnya.

"Saya rasa semua pemain China bukan lawan yang mudah kerana mereka kuat dari segi mental dan fizikal," katanya.

Sementara itu, pemain nombor 29 dunia itu optimis bahawa pelantikan Kenneth Jonassen dari Denmark sebagai ketua jurulatih perseorangan negara yang baharu akan membantu dirinya mencapai peningkatan lebih baik.

Jurulatih berusia 51 tahun itu membawa pengalaman luas setelah menjadi tonggak utama dalam membentuk legasi badminton Denmark sepanjang tempoh 13 tahun melatih di sana dan pernah berkhidmat sebagai ketua jurulatih England.

Bekas pemain nombor dua dunia dalam perseorangan lelaki, Jonassen memiliki kerjaya bermain yang mengagumkan, memenangi gelaran berprestij seperti Terbuka Jerman, Terbuka Korea, Terbuka Belanda dan Terbuka Singapura.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan