KLANG, 7 Jan (Bernama) -- Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) meneroka kemungkinan kerjasama dengan hospital swasta bagi membantu proses pemulihan bekas pelumba motosikal negara Muhamad Zamri Baba yang terbabit kemalangan ketika mewakili negara pada 2015.
Pengerusi YAKEB Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed berkata pihaknya akan berhubung dengan beberapa hospital berpotensi bagi mendapatkan maklumat mengenai pakar psikologi dan inisiatif tanggungjawab sosial korporat bersesuaian yang boleh ditawarkan untuk membantu bekas atlet permotoran negara itu.
“Saya harap ada juga agensi lain yang berkaitan akan tampil untuk membantu (Muhamad) Zamri. Pihak kami bersama Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli juga telah menziarahi beliau untuk melihat keadaannya pada Oktober tahun lepas.
“Susulan lawatan itu, pihak kami menghubungi Lembaga Zakat Selangor dan alhamdulillah, pada Disember bantuan telah disalurkan dalam bentuk lampin dewasa dan ubat-ubatan bagi meringankan beban keluarganya,” katanya ketika ditemui selepas melawat Muhamad Zamri di kediamannya di sini hari ini.
Berdasarkan pemerhatian, bekas pelumba berusia 42 tahun itu berada dalam keadaan sihat walaupun hanya mampu mengesot dan berkerusi roda untuk bergerak selepas terbabit dalam kemalangan pada perlumbaan pusingan dua ARRC di Litar Sentul, Indonesia pada Jun 2015.
Dalam lawatan itu, Noorul Ariffin turut menyerahkan sumbangan kerusi roda dan elaun sara diri berjumlah RM300 yang akan disalurkan selama enam bulan bagi meringankan beban keperluan harian yang perlu ditanggung isteri Fazlina Ahmad Fauzy, 42, sebagai pencari nafkah utama keluarga untuk menjaga dua anak mereka Muhammad Haiqal, 15, dan Muhammad Farish, 11.
Noorul Ariffin berkata tahun lepas, YAKEB telah melaksanakan 119 program dan menyantuni 350 ahli dengan 25 daripadanya menerima bantuan elaun sara hidup.
Sementara itu, Fazlina ketika ditemui meluahkan penghargaan terhadap sumbangan kerusi roda berkenaan yang akan memudahkan pergerakan suaminya yang lumpuh di bahagian bawah badan akibat kecederaan tulang belakang serta saraf otak selain turut mengalami hilang daya ingatan.
"Kalau ditanya perbelanjaan, kami memang memerlukan lebih RM1,000 bagi pengurusan diri Muhamad Zamri … dan saya serta adik-beradik akan bergilir-gilir menjaganya dan kecederaan yang dialami turut menyebabkan dia hilang ingatan, jadi ada cabarannya dan syukur ada pihak yang ingin membantu,” katanya.
Fazlina berkata pembiayaan harian mereka kini ditanggung menerusi pendapatan diperoleh daripada jualan kedai makan keluarganya di Jalan Astaka, Bukit Raja di sini, yang dikenali sebagai Warung Zamri.
"Pada awalnya memang sedikit sukar dengan Muhamad Zamri tidak mengingati saya dan anak-anak, dan harus diingatkan setiap masa … namun, kini kami reda dan bantu dengan lakukan fisioterapi secara berkala di rumah bagi memastikan keadaannya sentiasa baik," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial