SUKAN > BERITA

NAIK TARAF KOMPLEKS BELIA DAN SUKAN PAHANG BAWA MANFAAT BESAR KEPADA NEGERI

09/01/2025 03:23 PM

KUANTAN, 9 Jan (Bernama) -- Kompleks Belia dan Sukan Negeri Pahang (KOMBES) yang sedang dinaik taraf dengan kos lebih RM24.7 juta akan memberi manfaat besar kepada rakyat negeri ini khususnya golongan belia dan atlet apabila siap sepenuhnya menjelang Jun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Pahang Fadzli Mohamad Kamal berkata projek dengan peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan itu akan melengkapkan kompleks berkenaan dengan pelbagai kemudahan sukan terkini.

“Kompleks sukan di atas tanah kerajaan negeri seluas 11.2 ekar ini akan menjadi satu lagi mercu tanda baharu buat Pahang kerana terletak di tengah bandar raya Kuantan, dan dengan lokasinya yang strategik, ia memudahkan belia serta atlet melakukan pelbagai aktiviti mereka di sini. 

“Selain itu ia turut memiliki pelbagai kemudahan sukan yang mesra OKU (Orang Kurang Upaya), memiliki 32 bilik penginapan, dewan utama berkapasiti 1,000 orang, auditorium dan empat kiosk bagi usahawan belia berniaga ," katanya dalam sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke KOMBES di sini hari ini. 

Difahamkan kerja-kerja naik taraf dan pembinaan baharu KOMBES ini turut merangkumi pelbagai kemudahan antaranya bangunan pentadbiran, asrama, gimnasium, gelanggang sukan berbagai guna, gelanggang futsal berbumbung, taman papan selaju, dinding memanjat (wall climbing), padang bola sepak dan trek balapan serta gelanggang petanque.

Fadzli berkata pihaknya memang fokus dalam menjadikan KOMBES sebagai pusat utama kegiatan rakyat dan pada masa sama, mampu melahirkan lebih ramai lagi atlet berbakat pada masa hadapan.

Beliau berkata projek yang bermula pada 29 Mac 2021 dan sepatutnya siap dalam tempoh 18 bulan itu, bagaimanapun terpaksa dilanjutkan disebabkan beberapa faktor seperti  Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), faktor cuaca, perubahan kerja semasa dan kerja-kerja lain di sekitar tapak projek.

"Sehingga Disember lepas, perkembangan projek ini sudah mencapai 72 peratus dan ia dilihat mengikut jadual ditetapkan.

"Saya akan menerima laporan berkaitan perkembangan projek ini setiap bulan sehingga ia siap dan insya-Allah, kompleks ini akan mula beroperasi sepenuhnya pada September tahun ini," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan