SUKAN > BERITA

TERBUKA MALAYSIA: TANG JIE-EE WEI MARA KE SEPARUH AKHIR, SERTAI SOON HUAT-SHEVON

10/01/2025 08:21 PM

KUALA LUMPUR, 10 Jan (Bernama) -- Dua pasti lebih baik daripada satu.

Beberapa jam selepas pasangan beregu campuran profesional Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie mara ke separuh akhir Terbuka Malaysia 2025, pasangan nombor satu negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei pula mengikuti jejak mereka hasil persembahan cemerlang pada suku akhir di sini hari ini.

Tang Jie-Ee Wei yang menentang Hiroki Midorikawa-Natsu Saito dari Jepun memukau ribuan penyokong tuan rumah di Arena Axiata, Bukit Jalil di sini dengan permainan agresif dari awal untuk memastikan kemenangan dominan 21-11 dalam set pertama.

Pada set kedua, pilihan ketiga itu beralih ke gear lebih tinggi dan melonjak dengan kelebihan tujuh mata iaitu 12-5 dan akhirnya memastikan kemenangan ketiga berturut-turut menentang pasangan bukan pilihan itu 21-18, dalam masa 36 minit.

Keputusan hari ini bermakna pasangan nombor lima dunia itu mara ke separuh akhir pertama mereka pada Terbuka Malaysia setelah pencapaian terbaik mereka adalah pada edisi 2023 bilamana mereka tumbang kepada Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerrattanachai dari Thailand 19-21, 9-21 di peringkat suku akhir.

Pasangan ranking kelima dunia itu akan menentukan tempat ke pertandingan akhir menentang pasangan nombor satu dunia dan pilihan utama Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping yang menewaskan pilihan keenam Yang Po-Hsuan-Hu Ling Fang dari Taiwan 21-19, 21-14 dalam satu lagi perlawanan suku akhir.

Mengulas mengenai perlawanan itu, Ee Wei berkata kepercayaan antara satu sama lain adalah kunci kemenangan mereka hari ini.

Ee Wei gembira untuk menyaksikan bukan satu, tetapi dua wakil negara pada separuh akhir kategori beregu campuran kejohanan Super 1000 esok dan berharap kedua-dua pasangan tuan rumah akan menyerlah dalam usaha untuk menyaksikan perlawanan akhir semua Malaysia.

Tang Jie pula menyifatkan lawan mereka seterusnya Yan Zhe-Dong Ping sebagai pasangan yang kuat dan mempunyai kelebihan menuju ke perlawanan esok dengan menang empat kali daripada enam perlawanan.

"Tetapi walau apa pun, kami akan cuba mencabar dan menentang mereka sebaik mungkin," katanya kepada pemberita.

Terdahulu, Soon Huat-Shevon menjadi beregu campuran Malaysia yang pertama mara ke separuh akhir Terbuka Malaysia sejak Tan Kian Meng-Lai Pei Jing pada 2019.

Pilihan keempat itu menewaskan pasangan pilihan ketujuh Cheng Xing-Zhang Chi dari China 21-15, 22-20 dalam masa 47 minit.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan