SUKAN > BERITA

THT FOKUS PERBAIKI PUKULAN SUDUT PENALTI BERDEPAN TNB THUNDERBOLT

11/01/2025 04:08 PM

KUALA TERENGGANU, 11 Jan (Bernama) -- Skuad Terengganu Hockey Team (THT) akan memperkemas teknik pukulan sudut penalti sebagai persiapan berdepan TNB Thunderbolt pada saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) di Stadium Batu Buruk, petang esok.

Ketua jurulatihnya Mohd Harfizi Baharom mengakui masalah pukulan sudut penalti yang tumpul masih menghantui anak buahnya menyebabkan mereka terlepas banyak peluang gol dalam tiga perlawanan sebelum ini.

Justeru, padukan ‘The Turtles’ itu yang baru dinobatkan sebagai juara Piala Sumbangsih tahun ini akan berusaha keras memperbaiki kelemahan tersebut dalam misi memburu gelaran treble musim 2025.

"Saya sedar ratio pukulan sudut penalti kita tak berapa baik dalam tiga perlawanan. Saya yakin pemain pun sedar dan akan giatkan latihan untuk perkemas teknik dan perbaiki kelemahan. 

"Berdepan TNB Thunderbolt yang rata-rata pemain mereka adalah daripada skuad remaja kebangsaan, kita tak boleh ambil mudah dan akan kaji corak pertahanan lawan," katanya ketika dihubungi hari ini,

Dalam pada itu, Mohd Harfizi berkata setakat ini beliau amat berpuas hati dengan prestasi dua pemain import  Lee Nam Yong dari Korea Selatan dan Samkeli Mvimbi (Afrika Selatan) yang memberi impak besar kepada pasukan.

Pujian sama turut diberikan kepada pemain muda daripada skuad Sukan Malaysia (Sukma) yang mempamer aksi hampir setara dengan pemain senior.

"Dari segi keserasian (pemain muda dan senior) tak ada masalah kerana mereka dah bersama sejak Piala Tun Razak, cuma mungkin mereka (pemain muda) masih ada rasa rendah diri apabila beraksi dengan pemain senior.

"Mereka (pemain muda) sangat berbakat, kalau diberi satu atau dua perlawanan lagi mereka boleh bermain seperti di peringkat tinggi. Ambil masa sikit untuk mereka berkembang bersama pemain senior," katanya.

THT kini menduduki tempat teratas MHL 2025 dengan sembilan mata.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan