SUKAN > BERITA

JDT LAKAR SEJARAH REKOD KEMENANGAN KE-29 BERTURUT-TURUT

13/01/2025 09:25 PM

KUALA LUMPUR, 13 Jan (Bernama) -- Johor Darul Ta'zim (JDT) sekali lagi melakar sejarah dengan merekodkan kemenangan ke-29 berturut-turut di laman sendiri dalam saingan Liga Super sejak 24 Jun 2022, selepas menewaskan Sabah FC, Sabtu lalu.

Kemenangan 4-0 yang dicatatkan di gelanggang keramat mereka, Stadium Sultan Ibrahim, menyaksikan skuad kendalian Hector Bidoglio mengukuhkan kedudukan di tangga teratas Liga Super musim ini.

JDT, menerusi kenyataan di laman Facebook kelab itu, memaklumkan bahawa kejayaan tersebut sekali gus memecahkan rekod sendiri yang diiktiraf oleh ‘Malaysia Book of Records’ pada 19 Julai 2019, iaitu kemenangan berterusan paling banyak sebanyak 28 perlawanan.

Pada 2019, sebuah media tempatan melaporkan JDT mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi satu-satunya pasukan dalam negara yang berjaya menerima sijil pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) selepas menjuarai Liga Super selama enam kali berturut-turut.

Skuad Harimau Selatan itu mengekalkan rekod tanpa kalah di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, bermula tahun 2013 hingga 2017 dan mengekalkan rekod tanpa kalah dalam semua perlawanan liga pada musim 2016.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan