KUALA LUMPUR, 14 Jan (Bernama) -- Pemain perseorangan badminton wanita negara K. Letshanaa menghormati kritikan terbuka terhadapnya dan berazam untuk berlatih dengan lebih gigih demi mencapai matlamat dan impian yang didambakan.
Letshanaa, 23, yang kini di ranking ke-59 dunia berkata dalam perjalanan membuka lembaran baharu pada tahun ini adalah penting untuk kekal fokus dengan menetapkan matlamat lebih realistik untuk menjadi pemaian lebih hebat.
“Untuk mencapai matlamat itu saya akan beri tumpuan kepada latihan. Apa perlu dilakukan dan bagaimana untuk memberikan yang terbaik untuk mencapai matlamat dan impian saya.
“Itulah apa yang ada dalam fikiran saya dan (komen Rexy) tidak menjejaskan saya. Saya hanya fokus kepada apa yang perlu saya lakukan untuk terus maju,” katanya kepada pemberita di Akademi Persatuan Badminton Malaysia di Bukit Kiara hari ini.
Ketika ditanya sama ada kehadiran ketua jurulatih perseorangan negara yang baharu Kenneth Jonassen, Letshanaa berkata beliau ada berbincang dengan legenda badminton Denmark itu dan perbincangan sangat produktif.
Beliau kagum dengan pendekatan Jonassen dan menyifatkan beliau memahami dan mudah didekati yang bersedia mendengar pandangan anak buahnya.
"Minggu depan saya akan ke Indonesia Masters dan kemudian ke Thailand tetapi kejohanan pertama saya di bawah Jurulatih Jonassen ialah Kejohanan Berpasukan Campuran Badminton Asia (BAMTC) pada Februari," katanya.
Pengarah Kejurulatihan Rexy Mainaky sebelum ini mengeluarkan kenyataan pemain wanita skuad kebangsaan sering memberi alasan dan mengadu keletihan semasa menjalani latihan.
Beliau berkata walaupun Letshanaa mempunyai fizikal yang kuat, pemain ini sering mengadu sakit kaki dan meminta sesi latihan lebih ringan.
Sementara itu, Jonassen berkata beliau memerlukan masa untuk meningkatkan status pasukan perseorangan wanita.
“Saya rasa ranking tertinggi (perseorangan wanita) pada kedudukan 57 atau 59, jadi matlamat adalah untuk mempersiapkan pemain muda ini berada dalam kelompok 30 terbaik. Ini objektif jangka panjang dan inilah juga matlamatnya.
“Saya ada perancangan dan percaya ia boleh membantu kami ke arah itu, dan harap matlamat ini dapat dicapai lebih cepat. Saya juga sedang berbincang dengan semua pihak berkepentingan, dan akan merangka pelan terperinci bagaimana untuk bergerak ke hadapan,” katanya.
Jonassen berkata mustahak untuk mendapatkan input daripada semua pihak kerana pelaksanaan perubahan hanya boleh dilakukan dengan memahami terlebih dahulu isu teras.
Persatuan Badminton Malaysia melantik Jonassen sebagai ketua jurulatih pada November tahun lepas dengan matlamat utama untuk melahirkan pemain yang mampu meraih pingat emas di Sukan Olimpik Los Angeles 2028.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial