LANGKAWI, 21 Jan (Bernama) -- Pasukan The Next Factor dari Malaysia mempamerkan kehebatan apabila berjaya menamatkan tiga perlumbaan di tempat pertama bagi kelas Racing pada Kejohanan Regatta Antarabangsa Diraja Langkawi (RLIR) 2025 hari ini, sekali gus berada pada kedudukan teratas.
Keadaan cuaca dan kelajuan angin yang sangat baik hari ini membolehkan pasukan yang diketuai Rolf Heemskerk mendahului saingan selepas berjaya mengutip tiga mata dalam Kuah Harbour Race yang bermula di Royal Langkawi Yacht Club (RLYC) di sini.
"Hari ini bagus. Kami berjaya memenangi semua perlumbaan di tempat pertama. Tidak banyak kesukaran, semua pelayaran yang baik dan krew menyumbang kepada kejayaan, dengan angin sekitar lapan hingga 13 knot yang sangat baik untuk belayar.
"Pertandingan itu okey, tidak banyak boleh diperkatakan kerana pasukan Thailand, Vayu, tidak bermula dalam ketiga-tiga perlumbaan akibat beberapa masalah. Manakala saingan daripada ATM Sailing Team juga okey, mereka cuba mengejar kami, tetapi mereka perlu berusaha lebih keras untuk perlumbaan esok," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Beliau juga yakin pasukannya dapat meneruskan momentum yang baik untuk baki perlumbaan yang masih ada, sekali gus membolehkan mereka menjuarai kelas Racing.
Dalam kelas IRC1 pula, nasib tidak menyebelahi juara tahun lepas, pasukan Mata Hari dari Malaysia yang dikemudi Vincent Chan kerana keadaan angin yang terlalu kuat hari ini, tidak sesuai dengan keadaan dan saiz bot pasukan mereka.
"Angin hari ini antara 10 hingga 15 knot, jadi ia sesuai untuk bot besar seperti Char Chan. Sepanjang tiga perlumbaan hari ini, kami berjaya mengekori rapat pasukan lawan dan hanya ketinggalan beberapa saat di belakang mereka, tetapi nasib tidak berpihak kepada kami.
"Saya harap esok keadaan angin antara lapan hingga 10 knot kerana ia lebih sesuai untuk bot, sekali gus membolehkan kami untuk beraksi dengan lebih baik. Kami masih belum berputus asa kerana tahun lepas, Char Chan menang empat perlumbaan awal tetapi kami berjaya memenangi enam perlumbaan terakhir dan membolehkan kami menjadi juara," katanya.
KEPUTUSAN HARI PERTAMA
KELAS RACING (tiga perlumbaan):
1.The Next Factor (MAS) 3 mata penalti
2.Blitz (HKG) 6 mata penalti
3.ATM Sailing Team (MAS) 9 mata penalti
4.Vayu (THA) 15 mata penalti
KELAS IRC1 (tiga perlumbaan):
1.Char Chan (JPN) 3 mata penalti
2.Mata Hari (MAS) 6 mata penalti
3.Team Jolt (SGP) 9 mata penalti
4.Uminoko (KGZ) 14 mata penalti
5.Red Rum One (SGP) 15 mata penalti
6.Sailing Dream (CHN) 17 mata penalti
7.Kesini (SGP) 22 mata penalti
8.Venture (NEU) 22 mata penalti
9.Team Malabar (MAS) 27 mata penalti
KELAS IRC2 (dua perlumbaan):
1.Phoenix (DEN) 4 mata penalti
2.PDRM Sailing Team (MAS) 4 mata penalti
3.The Blue Angel (MAS) 5 mata penalti
4.Telaga Sail99 - UMT Racing Team (MAS) 7 mata penalti
5.VG Offshore (MAS) 10 mata penalti
KELAS SPORTSBOATS (tiga perlumbaan):
1.RSYC Racing Team (MAS) 4 mata penalti
2.Navy 2 (MAS) 6 mata penalti
3.Navy 1 (MAS) 8 mata penalti
4.RSYC Sailing Team (MAS) 12 mata penalti
KELAS MULTIHULL (dua perlumbaan):
1.Haruki (AUS) 4 mata penalti
2.WOW (GBR) 4 mata penalti
3.Twin Sharks (THA) 4 mata penalti
4.Boreas (AUS) 8 mata penalti
5.Trident (GBR) 10 mata penalti
KELAS CLUB (dua perlumbaan):
1.Dash (MAS) 2 mata penalti
2.Wind of Change (NEU) 5 mata penalti
3.Suraya (AUS) 6 mata penalti
4.Marikh (MAS) 7 mata penalti
5.Eveline (MAS) 13 mata penalti
6.Tofan (MAS) 14 mata penalti
7.Onisama Sailing Racing (CHN) 14 mata penalti
8.Red Cap Sailing School (GBR) 15 mata penalti
-- BERNAMA=
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial