KUALA LUMPUR, 21 Jan (Bernama) -- Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengucapkan terima kasih kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang selesai menjalankan siasatan, dan mengumumkan tiada tindakan lanjut akan diambil terhadap seorang pegawai kanan badan induk itu.
BAM dalam kenyataan rasmi yang dikongsi di laman Facebook mereka hari ini menyatakan komitmen untuk meningkatkan aspek tadbir urus persatuan itu dengan menerima dan melaksanakan cadangan yang dikemukakan SPRM.
“BAM ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh atas sokongan dan nasihat beliau sepanjang siasatan ini.
“Kami juga mengucapkan terima kasih kepada penaja yang telah menyokong persatuan sepanjang beberapa bulan ini,” menurut kenyataan itu.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki sebelum ini mengesahkan bahawa siasatan mendapati tiada elemen jenayah ditemui berhubung dakwaan seorang pegawai kanan persatuan itu mengambil elaun tanpa kelulusan Ahli Majlis BAM.
Laporan penuh mengenai siasatan itu akan diserahkan kepada Hannah kerana terdapat beberapa perkara yang perlu ditangani.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial