BERITA TERGEMPAR   Malaysia and ASEAN should continue to engage, attract investors from the United States, Europe and China without being forced to take sides -- PM Anwar | 
 SUKAN > BERITA

MASTERS INDONESIA; TIGA BEREGU CAMPURAN, LETSHANAA, LEPASI PUSINGAN PERTAMA

22/01/2025 10:23 PM

KUALA LUMPUR, 22 Jan (Bernama) -- Tiga pasangan beregu campuran dan pemain perseorangan wanita K. Letshanaa mencipta permulaan cemerlang untuk Malaysia pada hari pembukaan kejohanan Masters Indonesia 2025 di Jakarta hari ini.

Pilihan utama Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mara ke pusingan kedua acara beregu campuran selepas menewaskan pasangan Perancis Julien Maio-Lea Palermo 21-14, 21-17  dalam masa 34 minit pada pusingan pertama kejohanan Super 500 yang berlangsung di Istora Senayan.

Seterusnya Tang Jie-Ee Wei akan berdepan pasangan tuan rumah Jafar Hidayatullah-Felisha Alberta Nathaniel Pasaribu yang menyingkirkan pasangan Taiwan, Lu Ming Che-Hung En-Tzu 21-19, 22-20.

Sementara itu, pilihan kedua dan pasangan profesional Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie turut memenuhi jangkaan apabila menewaskan pasangan Indonesia Dejan Fernandisyah-Siti Fadia Silva Ramadhanti, 21-16, 21-15.

Soon Huat-Shevon dijangka berdepan cabaran daripada pasangan Indonesia Marwan Faza-Aisyah Salsabila Putri Pranata di pusingan kedua selepas pasangan tersebut mengatasi pemain Jerman, Jones Ralfy Jansen-Thuc Phuong Nguyen 19-21, 21-16, 21-13 dalam perlawanan pembukaan yang sengit.

Beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin, turut menceriakan kem Malaysia apabila berjaya menewaskan pasangan Hong Kong, Liu Chun Wai-Fu Chi Yan 21-14, 21-17.

Pang Ron-Su Yin akan berdepan pasangan India Dhruv Kapila-Tanisha Crasto pada perlawanan esok selepas wakil India itu menundukkan pemain tuan rumah Adnan Maulana-Indah Cahaya Sari Jamil, 21-18, 21-14.

Bagaimanapun, beregu campuran profesional negara Wong Tien Ci-Lim Chiew Sen terpaksa akur dengan kekalahan 13-21, 15-21 kepada pasangan Jepun Hiroki Midorikawa-Natsu Saito.

Dalam acara perseorangan lelaki, minat Malaysia turut berakhir apabila satu-satunya wakil, Leong Jun Hao, tersingkir awal selepas tewas untuk kali kedua berturut-turut dalam tempoh seminggu kepada lawan yang sama.

Jun Hao tewas 14-21, 13-21 kepada Weng Hong Yang selepas tewas 18-21, 12-21 kepada pemain China itu pada pusingan kedua Terbuka India minggu lepas.

Sementara itu, pemain nombor 59 dunia, Letshanaa, mencipta kejutan apabila menewaskan pemain nombor 51 dunia, Polina Buhrova dari Ukraine 21-23, 21-15, 21-19 pada pusingan pertama acara perseorangan wanita.

Pada pusingan kedua, pemain berusia 21 tahun itu dijangka berdepan sama ada juara dunia 2019 dari India, Pusarla V. Sindhu atau pemain Vietnam, Nguyen Thuy Linh.

Namun, nasib tidak menyebelahi seorang lagi pemain perseorangan wanita negara Goh Jin Wei selepas beliau tewas kepada pemain Taiwan, Hsu Wen Chi 14-21, 21-19, 14-21 dalam masa 46 minit.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan