KUALA LUMPUR, 29 Jan (Bernama) -- Sambutan Tahun Baharu Cina kali ini cukup istimewa kepada pemain profesional negara, Shevon Lai Jemie kerana buat pertama kali meraikannya bersama suami yang juga pasangan beregunya, Goh Soon Huat.
Lebih bermakna, Shevon berkata apabila akhirnya dia dapat menyambut perayaan itu dengan berkumpul bersama keluarga selepas bertahun tidak dapat berbuat demikian berikutan jadual yang ketat dan komitmen di gelanggang.
“Saya tidak ingat bila kali terakhir saya dapat bercuti dalam erti kata sebenar. Tahun lepas dapat cuti tetapi masih dalam tempoh kelayakan Olimpik, jadi tidak boleh rehat lama.
“Tahun ini lebih istimewa kerana dapat balik dan sambut Tahun Baharu Cina bersama keluarga selepas beberapa tahun kami tidak dapat benar-benar berkumpul, ia sudah tentu menyeronokkan,” katanya ketika dihubungi Bernama baru-baru ini.
Shevon yang lega dapat meluangkan masa beberapa hari bersama keluarganya sebelum Tahun Baharu Cina, berkata dia juga akan menyambut perayaan itu bersama keluarga Soon Huat mengikut tradisi masyarakat Cina.
Sementara itu, ketika ditanya matlamatnya tahun ini sebagai gandingan beregu campuran utama negara, Shevon berharap mereka dapat mengekalkan kecergasan fizikal ketika bertanding di peringkat tinggi.
“Bagi saya dan Soon Huat, fokus utama kami ialah kekal sihat dan bebas kecederaan. Memang satu cabaran untuk mengekalkannya tetapi itulah keutamaan kami. Kami sentiasa mencuba strategi baharu dan mendorong diri untuk menjadi lebih baik,” katanya.
Sementara itu, Shevon mengakui teruja dengan Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia (BAMTC) bermula 11-16 Feb ini di Qingdao, China, apabila dia dan Soon Huat turut tersenarai dalam pasukan negara.
“Kami memang menantikan aksi di BAMTC. Ia acara yang amat menarik untuk disertai, terutama tahun ini dengan kehadiran pemain muda dan sedang meningkat naik. Ia satu pengalaman berbeza dan kami berdua sudah bersedia menghadapinya,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial