SUKAN > BERITA

LETSHANAA MAHU BUKTI KEMAMPUAN BERI TENTANGAN SENGIT PADA BAMTC

04/02/2025 04:20 PM

KUALA LUMPUR, 4 Feb (Bernama) -- Perseorangan wanita negara K. Letshanaa bertekad untuk memberikan tentangan sengit meskipun tampil sebagai pemain bukan pilihan pada Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia (BAMTC) 2025 di Qingdao, China dari 11 hingga 16 Feb.

Letshanaa, 21, berkata beliau sedang berbincang bersama jurulatihnya dalam usaha memperbaiki kelemahan yang dimiliki untuk tampil lebih cemerlang pada kejohanan itu. 

“Masih belum konsisten lagi. Jadi, kami sedang menelitinya sekarang. Apakah kesilapan yang perlu kami perbaiki, dan juga berbincang dengan Jurulatih Kenneth (Jonassen). Ini kerana kami perlu bersedia untuk BAMTC yang masih berbaki lima hari lagi. Jadi, apa yang boleh kami betulkan dalam lima hari ini untuk menjadikannya lebih baik.

“Saya yakin kami mahu memberikan yang terbaik seperti yang saya lakukan di Indonesia. Hasilnya akan diketahui nanti, kerana kami bukan pemain pilihan, dan apabila kami memberikan yang terbaik, maka hasilnya akan diperoleh,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara di sini hari ini.

Beregu campuran profesional negara Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie menjadi satu-satunya pemain berpengalaman yang menyertai pasangan beregu campuran negara Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin.

Perseorangan lelaki pula akan diisi Leong Jun Hao dan Justin Hoh bagi menggantikan pemain profesional yang sedang dalam pemulihan Lee Zii Jia dan Ng Tze Yong, manakala Letshanaa dan Wong Ling Ching dipilih untuk mewakili Malaysia dalam kategori perseorangan wanita.

Pemain beregu lelaki negara Man Wei Chong-Tee Kai Wun yang kini menghuni ranking ke-12 dunia serta Yap Roy King-Wan Arif Wan Junaidi akan beraksi bagi kategori beregu lelaki, manakala beregu wanita terdiri daripada Teoh Mei Xing-Go Pei Kee dan Tan Zhing Yi-Cheng Su Hui.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan