SUKAN > BERITA

JDT PERKENAL TRIO SEPANYOL BAHARU HADAPI ACLE

05/02/2025 04:13 PM

KUALA LUMPUR, 5 Feb (Bernama) -- Gergasi bola sepak tanah air Johor Darul Ta'zim (JDT) mengesahkan menandatangani tiga bekas pemain La Liga Sepanyol untuk memperkuatkan skuad berkenaan dalam mengejar impian pada kempen Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE).

Ketiga-tiga pemain itu ialah bekas penyerang Valencia Jonathan Viera, bekas pemain tengah Sevilla dan Swansea City Roque Mesa dan bekas pemain pertahanan Villarreal Alvaro Gonzalez, yang sebelum ini bermain bersama legenda Portugal Cristiano Ronaldo di kelab Arab Saudi Al-Nassr FC.

JDT mengumumkan menandatangani pemain itu secara berperingkat menerusi laman Facebook rasmi mereka, Johor Southern Tigers.

Skuad Harimau Selatan itu dijadualkan menentang pasukan Australia Central Coast Mariners pada hari Selasa (11 Feb) di New South Wales, sebelum menamatkan kempen peringkat liga Zon Timur menentang FC Pohang Steelers dari Korea Selatan pada 18 Feb di Stadium Sultan Ibrahim, Johor.

JDT kini dalam kedudukan terbaik untuk mara ke peringkat kalah mati selepas menduduki tempat keenam dalam Kumpulan A dengan kelebihan perbezaan gol walaupun berkongsi lapan mata bersama wakil China Shanghai Port dan Buriram United dari Thailand selepas enam perlawanan.

Hanya lapan pasukan teratas daripada 12 pasukan dalam peringkat liga akan mara ke pusingan 16 terbaik.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan