SUKAN > BERITA

BAMTC: SHEVON-SOON HUAT MAHU TURUN ‘ILMU’ KEPADA SKUAD MUDA NEGARA

05/02/2025 06:11 PM

KUALA LUMPUR, 5 Feb (Bernama) -- Beregu campuran profesional negara Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie mahu mencari keserasian sepanjang latihan pusat selama tiga hari bersama barisan pemain muda di Akademi Badminton Malaysia (ABM), bermula esok hingga Sabtu ini.

Shevon berkata keserasian bersama rakan sepasukan sangat penting dalam membina momentum dan keharmonian pasukan terutama ketika beraksi pada Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia (BAMTC) 2025 di Qingdao, China dari 11 hingga 16 Feb.

“Macam kita tahu, tekanan untuk kejohanan berpasukan ini lain daripada kejohanan individu. Jadi, kami akan menggunakan masa selama tiga hari ini untuk membina komunikasi, sekali gus mengenali antara satu sama lain.

“Barisan pemain kali ini tiada pemain-pemain terbaik dan pemain yang disenaraikan kali ini juga kami tak kenal dan ada jurang yang besar. Bagi saya, komunikasi adalah kunci yang bantu kami seperti di Piala Sudirman sebelum ini,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan di sini hari ini.

Shevon antara pemain yang membantu Malaysia meraih pingat gangsa pada Piala Sudirman 2023 berkata beliau akan menggunakan pengalamannya untuk membantu pasukan negara pada BAMTC kali ini.

“Kami pernah bermain dalam kejohanan berpasukan sebelum ini dan kali terakhir adalah waktu Piala Sudirman dua tahun lepas. 

“Jadi harap pengalaman yang saya dan Soon Huat miliki dapat membantu pasukan kita, lagi-lagi pemain kali ini banyak yang muda,” katanya.

Pada kejohanan BAMTC kali ini, Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama Indonesia dan Hong Kong, dengan hanya dua pasukan terbaik setiap kumpulan akan mara ke pusingan suku akhir.

Sejak dipertandingkan pada 2017, pasukan negara tidak pernah memenangi sebarang pingat di kejohanan itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan