SUKAN > BERITA

MHL 2025: HATRIK ISMAIL GAGAL UBAH KEDUDUKAN TERCOROT AFHT

12/02/2025 10:48 PM

KUALA LUMPUR, 12 Feb (Bernama) – Jaringan hatrik Ismail Abu gagal membantu skuad lelaki Armed Forces HT (AFHT) mengutip mata penuh pada saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) apabila sekadar seri 4-4 dengan Territory Stingers (TS) di Stadium Hoki Kementerian Pendidikan di sini, malam ini.

Keputusan seri itu gagal mengubah kedudukan AFHT di tangga tercorot dengan empat mata, manakala TS, kelab berpangkalan di Australia, menghuni tangga kelapan daripada 10 pasukan.

Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengungguli carta Liga MHL, disusuli Terengganu Hockey Team (THT), dengan masing-masing berkongsi 21 mata.

Pada pertemuan hari ini, AFHT bangkit daripada ketinggalan dua gol dengan Ismail melakukan jaringan hatrik pada minit ke-39, 47 dan 58, manakala Tg Nasrul Hakimie Tg Abd Rahim menjaringkan gol menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-39.

TS memperoleh empat jaringan menerusi tiga gol padang, iaitu oleh Isaac Aaron Farmilo pada minit ke-16, Adrian Daniel Lockley (21) dan Zach Rakkas (60), serta satu gol hasil pukulan sudut penalti oleh Isaac pada minit ke-25.

Sementara itu, pasukan wanita TS berpesta gol apabila menewaskan AFHT 5-2, sekali gus mengumpul enam mata selepas mengharungi tiga daripada enam perlawanan.

TS membuka jaringan menerusi pukulan sudut penalti oleh Elouise Bernadette Buckley pada minit kelapan sebelum Tiana Kym Crompton menambah satu lagi gol padang pada minit kesembilan.

AFHT kemudian merapatkan jurang apabila Nur Qashrina Azli menjaringkan gol pertama mereka pada minit ke-13.

Memasuki suku kedua, kedua-dua pasukan berusaha mencari rentak sebelum TS kembali menambah jaringan menerusi Jemma Claire Buckley pada minit ke-27, diikuti dua lagi gol padang masing-masing oleh Destiny Violet Batman-Peris (31) dan Elouise Bernadette Buckley pada minit ke-44.

Nurul Najihah Mohd Sukur pula menyumbang gol kedua buat AFHT pada suku keempat (minit ke-49).

TS kini berada di kedudukan kelima daripada tujuh pasukan dengan enam mata, manakala skuad wanita AFHT di tangga keenam dengan tiga mata.

Sementara itu, pasukan Blue Warriors kekal di tangga teratas selepas mengharungi lima perlawanan dengan 15 mata.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan