PETALING JAYA, 16 Feb (Bernama) -- Walaupun mempunyai kelebihan dari segi jumlah pemain yang beraksi, ketua jurulatih PDRM FC P. Maniam mengakui kesungguhan Selangor FC bermain dengan hanya 10 pemain memberi kelebihan kepada mereka pada Final 1 Piala Cabaran 2024-2025 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) malam tadi.
Beliau turut mengakui keazaman dan kesungguhan pemain Red Giants terus melonjak selepas menerima kad merah, dan pada masa yang sama beliau menekankan kepentingan untuk pasukannya memperbaiki corak permainan dan bekerja lebih keras untuk perlawanan seterusnya.
“Dalam bola sepak apabila anda bermain dengan 10 pemain, mereka akan memberikan lebih daripada 100 peratus, jadi apabila kami bermain dengan 11 pemain, mereka akan selesa sedikit. Inilah psikologi, kadang-kadang ia berlaku tetapi apa-apa pun, tahniah kepada Selangor.
“Kita boleh lihat corak permainan agak perlahan kemudiannya, tetapi saya tidak mahu beri alasan, saya pikul tanggungjawab bagi kekalahan ini kerana saya jurulatihnya. Ada lagi final nanti (Final 2) ada satu lagi peluang, jadi pemain mesti faham, kita akan bermain 90 minit lagi, ia bukan mudah, tetapi ia tidak mustahil,” katanya ketika sidang media selepas perlawanan malam tadi.
Sementara itu, ketua jurulatih Selangor FC Katsuhito Kinoshiyang yang menyifatkan kemenangan 3-2 pasukannya ke atas PDRM FC sebagai "kemenangan besar", memuji ketabahan mereka walaupun terpaksa beraksi dengan hanya 10 pemain, hanya 10 minit selepas perlawanan bermula.
Kinoshi melihat cabaran itu sebagai ujian tahap komitmen pemainnya dan memuji mereka kerana bangkit menghadapi cabaran.
“Bagi saya ia satu kemenangan besar. Beraksi dengan 10 pemain selama 80 minit bukanlah sesuatu yang mudah, tetapi pada separuh masa, kami mengingatkan pemain untuk terus bersatu,” katanya.
Selangor FC membuktikan kehebatan mereka dengan menewaskan juara bertahan PDRM FC 3-2 semalam dan pasukan yang sama akan berentap semula di Final 2 pada 22 Feb di venue yang sama.
PDRM FC merangkul kejuaraan musim lalu selepas menewaskan Kuching City dengan agregat 4-1 pada perlawanan akhir.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial