SUKAN > BERITA

WAN ARIF IDAM GELARAN SULUNG JELAJAH DUNIA

19/02/2025 02:45 PM

KUALA LUMPUR, 19 Feb (Bernama) -- Pemain beregu lelaki negara Wan Arif Wan Junaidi memasang impian untuk merangkul gelaran sulung bersama pasangan Yap Roy King pada Kejohanan Badminton Jelajah Dunia tahun ini.

Wan Arif mendedahkan sasaran itu menjelang Terbuka Jerman 2025, yang dijadual berlangsung di Mulheim an der Ruhr dari 25 Feb hingga 2 Mac ini.

Beliau berkata keyakinan itu melonjak selepas mempamerkan persembahan memberangsangkan pada Indonesia Masters 2025 bulan lepas, biarpun tersingkir di peringkat suku akhir kepada rakan sepasukan Man Wei Chong-Tee Kai Wun, 15-21, 16-21.

“Saya harap lepas masuk suku akhir (Indonesia Masters 2025) tempoh hari, kami punya keyakinan lebih tinggi, dapat main lebih sabar dan konsisten lagi.

“Buat masa ini kami sasar satu gelaran dulu, lepas satu gelaran mungkin keyakinan sudah lain,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara di sini semalam.

Biarpun masih belum berjaya memenangi gelaran Jelajah Dunia, Wan Arif-Roy King pernah menjadi juara Cabaran Antarabangsa Nantes 2023 di Perancis.

Pada Terbuka Jerman 2025, pasangan ranking ke-19 dunia itu dijangka membuka kempen kejohanan bertaraf Super 300 berkenaan berdepan pasangan Denmark William Kryger Boe-Christian Faust Kjaer.

Sementara itu, beliau berkata prestasi memberangsangkan Wei Chong-Kai Wun termasuk bergelar juara Indonesia Masters 2025 telah mencetuskan persaingan sihat dalam kem beregu lelaki negara.

Wan Arif berkata pengalaman bekas juara dunia 2022 Aaron Chia-Soh Wooi Yik juga banyak membantu rakan sepasukan lain dalam memperbaiki prestasi mereka terutamanya ketika menjalani latihan bersama.

Sehubungan itu, beliau berharap untuk menggunakan pengalaman berlatih bersama kedua-dua pasangan berkenaan bagi mencapai kedudukan 15 terbaik dunia selepas ini.

Aaron-Wooi Yik ketika ini adalah pasangan kelima dunia manakala Wei Chong-Kai Wun pula menduduki tangga ke-11 dunia.

Gandingan profesional Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani pula menjadi pasangan terbaik dalam negara ketika ini selepas mencapai kedudukan kedua terbaik dunia.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan