KUALA NERUS, 20 Feb (Bernama) -- Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC) Badrul Afzan Razali mengakui persiapan pasukannya untuk menghadapi cabaran Kuching City FC dalam aksi Liga Super malam esok sedikit terganggu dengan ketiadaan dua tonggak utama.
Beliau berkata pemain tengah import Nurillo Tukhtasinov terpaksa diketepikan akibat digantung perlawanan manakala pemain sayap lincah Muhammad Akhyar Abdul Rashid berdepan masalah kesihatan.
Situasi itu memaksa pengendali berusia 49 tahun itu melakukan sedikit rombakan dalam kesebelasan utama bagi memastikan skuad Penyu mencapai kemenangan wajib di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) Kuala Nerus.
"Tukhtasinov telah dilayangkan tiga kad kuning dalam perlawanan sebelum ini... jadi dia digantung satu perlawanan. Akhyar pula mengalami demam serta cirit-birit sejak beberapa hari lepas.
"Mengikut perancangan bersama barisan kejurulatihan, saya mungkin akan menurunkan Akram (Muhammad Akram Mahinan) di posisi Tukhtasinov dan Engku Muhammad Nur Shakir Engku Yacob di tempat Akhyar," katanya ketika dihubungi hari ini.
Dalam pada itu, Badrul Afzan turut mengingatkan anak buahnya supaya tidak mengulangi kesilapan yang mengakibatkan mereka kehilangan tiga mata berharga ketika berdepan Kuala Lumpur City FC (KL City) pada aksi minggu lalu.
Beliau menegaskan selain memiliki barisan serangan berbahaya, benteng pertahanan skuad The Cats juga kukuh dan sukar ditembusi.
"Kita tak boleh terus kehilangan mata jika mahu mencabar kedudukan Sabah FC di tempat ketiga. Saya harap pemain lebih fokus dan tidak melakukan kesilapan mudah yang boleh menyebabkan kita dihukum di tempat sendiri," katanya.
TFC kini berada di tangga keempat Liga Super dengan 27 mata, di belakang Sabah FC yang mengumpul 33 mata sementara Kuching City FC di tangga keenam dengan 27 mata, ketinggalan di belakang Perak FC yang berkongsi jumlah mata sama.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial