SUKAN > BERITA

PIALA CABARAN: PDRM FC DILUCUT HAK PERLAWANAN - MFL

21/02/2025 10:50 PM

KUALA LUMPUR, 21 Feb (Bernama) -- Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah menjatuhkan hukuman terhadap PDRM FC kerana didapati bersalah menurunkan pemain tidak berkelayakan pada Final 1 Piala Cabaran 2024-2025 menentang Selangor FC di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada 15 Feb lepas.

Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dalam kenyataan hari ini memaklumkan susulan itu, PDRM FC telah dilucutkan hak perlawanan dan dikira kalah perlawanan berkenaan dengan keputusan 3-0 dan perlu membayar denda sebanyak RM3,000.

PDRM FC turut diberikan amaran keras dan hukuman yang lebih berat dikenakan jika mengulangi kesalahan sama.

“Keputusan ini tidak boleh dirayu. Untuk makluman, segala urusan melibatkan penggantungan pemain adalah di bawah kendalian FAM sepenuhnya menerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM,” menurut kenyataan itu.

Pada perlawanan Sabtu lepas, PDRM FC telah memasukkan Mohd Safiee Ahmad sebagai pemain gantian pada minit ke-58 sedangkan pemain berjersi No 32 itu sepatutnya menjalani penggantungan satu perlawanan selepas mengumpul dua kad kuning ketika perlawanan Suku Akhir 1 menentang Melaka FC dan Separuh Akhir 2 berdepan Kedah Darul Aman FC.

PDRM FC didapati bersalah kerana melanggar melanggar Artikel 57 (berkenaan ketidaklayakan) yang dibaca bersama Artikel 32 (berkenaan perlucutan hak) dalam Kod Tatatertib FAM apabila menurunkan pemain yang tidak berkelayakan pada perlawanan tersebut.

Kedua-dua pasukan akan bertemu sekali lagi dalam Final 2 Piala Cabaran 2024-2025 di Stadium MBPJ, Kelana Jaya, esok dengan Selangor FC kini mendahului agregat 3-0.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan