KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- Ketua jurulatih pasukan hoki kebangsaan Sarjit Singh menyifatkan persaraan Faizal Saari sebagai satu kehilangan besar kepada negara, namun pada masa sama skuad Speedy Tigers perlu menyesuaikan keadaan tanpa khidmat penyerang sensasi itu.
Beliau berkata keputusan pemain berusia 34 tahun itu untuk mengundurkan diri selepas mencatat 302 caps sepanjang 15 tahun bersama skuad kebangsaan bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana sudah dimaklumkan mengenainya sejak tahun lepas.
“Faizal pemain yang bagus, tetapi kami perlu melangkah ke hadapan dan fokus pasukan sekarang adalah Sukan Asia 2026.
“Persiapan kami baru bermula pada Mac tahun lepas, jadi masih memerlukan masa. Harapnya tahun ini, pasukan semakin mantap dengan pemain muda,” katanya pada sidang media bagi mengumumkan senarai 30 pemain yang akan berlatih bersama Speedy Tigers bagi musim 2025 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil di sini hari ini.
Pada Sabtu lepas, Faizal mengumumkan persaraannya daripada skuad kebangsaan selepas membantu Terengganu Hockey Team (THT) merangkul gelaran treble Liga Hoki Malaysia (MHL) 2025, namun menegaskan akan terus beraksi untuk Terengganu dalam saingan MHL serta Piala Tun Abdul Razak.
Sementara itu, Sarjit memaklumkan lima daripada 30 pemain yang dipanggil adalah muka baharu dan skuad kebangsaan akan memulakan latihan 3 Mac ini pada sebelah malam sempena Ramadan.
“Kami akan bermain dua perlawanan menentang Western Australia diikuti empat perlawanan menentang Australia di Perth. Semua perlawanan ini adalah aksi persahabatan yang dijadualkan dari 20 April hingga 2 Mei,” katanya.
Sarjit berkata pasukan seterusnya akan beraksi dalam Piala Negara-Negara dari 15 hingga 21 Jun sebelum menjalani latihan selama enam hingga lapan minggu sebagai persiapan untuk ke Piala Asia di India.
“Untuk Piala Negara-Negara, kami perlu berada dalam kelompok empat terbaik kerana itu sangat penting bagi kami. Kalau ikut ranking, kumpulan kami dijangkakan terdiri daripada Perancis, Malaysia, Korea dan Wales manakala kumpulan satu lagi membabitkan New Zealand, Afrika Selatan, Pakistan dan Jepun,” katanya.
Sementara itu, skuad hoki lelaki kebangsaan turut akan menyertai dua kejohanan lain iaitu Piala Sultan Azlan Shah dari 22 hingga 29 Nov dan Sukan SEA Thailand dari 9 hingga 20 Dis.
Skuad senior akan dihantar ke Sukan SEA kerana pasukan junior akan beraksi di Piala Dunia yang berlangsung pada bulan yang sama.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial