KUALA LUMPUR, 4 Mac (Bernama) -- Juara Liga Super musim ini Johor Darul Ta’zim (JDT) berjaya mengekang kuasa Buriram United di laman sendiri apabila terikat tanpa jaringan pada aksi pertama pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) malam ini.
Pada pertembungan di Stadium Buriram di Thailand, pasukan tuan rumah lebih menguasai permainan dengan kawalan bola serta gerakan serangan yang dinamik, namun berdepan isu penyudah yang tumpul, selain cabaran untuk mengatasi disiplin bertahan yang kukuh ditunjukkan JDT.
Peluang terbaik perlawanan pada separuh masa pertama dimiliki penyerang Buriram, Martin Boakye yang gagal menyambar bola hantaran lintang rendah cantik Dion Cools dari sebelah kanan di awal masa tambahan.
Bersambung babak kedua, perlawanan menjadi seimbang selepas kedua-dua pasukan saling mengubah pendekatan strategi serangan, menyaksikan penyerang kebangsaan Thailand Suphanat Mueanta hampir mencetak jaringan pada minit ke-65.
Bagaimanapun, tandukan deras pemain berusia 22 tahun itu selepas menyambar hantaran lintang Lucas Crispim berjaya ditepis penjaga gol JDT, Andoni Zubiaurre Dorronsoro.
JDT melakukan keseluruhan lima pertukaran antaranya memasukkan bekas penyerang Valencia dari Sepanyol, Samu Castillejo yang meraih debut bersama skuad Harimau Selatan, namun dia gagal menunjukkan impak apabila usahanya untuk mencetak gol menemui jalan buntu sehingga wisel penamat.
Aksi timbal balik antara JDT dan Buriram dijadual berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Selasa depan.
Sebagai rekod, ini adalah kali kedua JDT bertemu Buriram dalam saingan ACL Elite musim ini selepas kedua-dua pasukan seri tanpa jarigan pada pusingan liga di Stadium Sultan Ibrahim, Disember lepas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial