SUKAN > BERITA

LIGA SUPER: TFC TURUN DENGAN MISI WAJIB MENANG KE ATAS SABAH FC

06/03/2025 03:31 PM

KUALA NERUS, 6 Mac (Bernama) -- Terengganu FC (TFC) turun dengan misi wajib menang pada perlawanan Liga Super menentang Sabah FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) malam esok, kata Ketua Jurulatih Badrul Afzan Razali.

Badrul Afzan berkata kemenangan itu penting bagi mencerahkan peluang skuad Penyu merampas kedudukan Sabah FC di tangga ketiga liga.

Beliau berkata selepas mengharungi 20 perlawanan, TFC berjaya mengutip 31 mata, hanya empat mata di belakang Sabah FC (35 mata).

“Esok adalah perlawanan penting untuk kami. Kami perlu kutip tiga mata untuk dekatkan diri dengan Sabah. Jika tewas, peluang untuk tamatkan liga di tempat ketiga mungkin tertutup. 

“Kami juga berdepan cabaran daripada Kuching City FC yang hanya satu mata di belakang TFC. Kami tidak boleh kalah kerana kekalahan akan menyebabkan kami jatuh ke tangga kelima liga,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di SSMZA, Kuala Nerus malam tadi.

Justeru, pengendali berusia 49 tahun itu menggesa anak buahnya supaya lebih fokus dan berwaspada dengan taktikal pasukan lawan.

Beliau berkata skuad Sang Badak memiliki barisan pemain import berkualiti dan kekuatan di bahagian serangan yang mampu mengancam benteng pertahanan TFC.

“Kami harap momentum kemenangan ke atas Pahang dapat diteruskan malam esok. 

“Walaupun kami ghairah untuk mengutip tiga mata, kami perlu berjaga-jaga dan tidak melakukan kesilapan mudah yang boleh menyebabkan dihukum dengan kekalahan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan