SUKAN > BERITA

LIGA SUPER: VICTOR PUJI SEMANGAT JUANG PEMAIN MUDA KDA FC

08/03/2025 12:45 PM

ALOR SETAR, 8 Mac (Bernama) -- Ketua jurulatih interim Kedah Darul Aman (KDA) FC Victor Andrag memuji persembahan pemainnya yang memberi tentangan sengit kepada KL City FC sebelum tewas 2-3 dalam aksi Liga Super di Stadium Darul Aman, di sini malam tadi.

Beliau berkata KDA FC kini banyak bergantung kepada pemain muda disebabkan ramai pemain senior tidak turun berlatih hingga menyukarkan perancangan.

“Gabungan pemain bawah 23 Tahun (B-23) dan senior yang sedia komited untuk beraksi telah memberi ‘nafas baharu’ bagi pasukan. Sejak mengambil alih, saya banyak memberi peluang kepada pemain muda yang menunjukkan kesungguhan dalam latihan,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan menentang KL City FC di sini, malam tadi.

Victor berharap pemain yang ada terus mengekalkan komitmen bagi menghadapi baki lima perlawanan Liga Super musim ini.

Terdahulu, media melaporkan beliau terpaksa mengharungi cabaran sukar apabila hanya bergantung kepada pemain sedia ada susulan isu dalaman yang menyebabkan ramai tonggak senior tidak hadir ke sesi latihan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan