SUKAN > BERITA

PUSAT AKADEMI SEPAK TAKRAW MALAYSIA DIJANGKA BEROPERASI JUN INI - MOHD SUMALI

11/03/2025 03:02 PM

KUALA LUMPUR, 11 Mac (Bernama) -- Setelah sekian lama menanti, Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) akhirnya boleh menarik nafas lega apabila dapat membuka sebuah akademi sendiri di Stadium Jalan Raja Muda, Kampung Baru, di sini.

Presiden PSM Datuk Mohd Sumali Reduan berkata Pusat Akademi Sepak Takraw Malaysia itu diharapkan dapat beroperasi sepenuhnya Jun ini berikutan beberapa pengubahsuaian di kemudahan itu perlu dilakukan terlebih dahulu.

“Stadium berkenaan masih memerlukan banyak kerja naik taraf termasuk pemasangan pendingin hawa. Mungkin mengambil masa dua hingga tiga bulan sebelum boleh buka akademi di situ.

“Kami pernah gunakan stadium berkenaan untuk program kecil. Kita akan cuba tambah baik lagi supaya ia benar-benar menjadi sebuah akademi,” katanya kepada Bernama hari ini.

Mohd Sumali berkata beliau menerima berita gembira berkenaan hasil pertemuan bersama Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh yang turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah  (Pembangunan Sukan) Majlis Sukan Negara (MSN) Jefri Ngadirin dan wakil PSM semalam.

Sebelum ini, Mohd Sumali berkata pihaknya merancang untuk memiliki stadium sendiri dengan mengenal pasti beberapa lokasi di Lembah Klang.

Beliau bagaimanapun pada Oktober lepas dilaporkan sedia mempertimbangkan untuk mewujudkan akademi sukan berkenaan berbanding memiliki stadium sendiri.

Mohd Sumali berkata mereka diberikan kontrak sewa sembilan tahun hingga 2034 untuk mengambil alih pengoperasian stadium berkenaan yang dimiliki Institut Sukan Negara (ISN).

Sehubungan itu, beliau amat menghargai komitmen Hannah, MSN dan ISN dalam merealisasikan hasrat PSM menubuhkan akademi sendiri.

Dalam pada itu, Mohd Sumali memaklumkan Program Pembangunan Sepak Takraw Kebangsaan (NSTDP) bakal dilaksanakan bulan depan.

Beliau berkata pelaksanaan NSTDP merupakan sejarah baharu dan penting buat sukan warisan berkenaan khususnya dalam menggilap bakat di peringkat akar umbi.

“Ketika ini setiap negeri sedang berusaha melakukan bengkel bagi memberikan penjelasan lanjut mengenai program ini sebelum NSTDP dijangka bermula sepenuhnya pada April ini,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan