KUALA LUMPUR, 12 Mac (Bernama) -- Kelab bola sepak Johor Darul Ta'zim sedia untuk terus membuat pelaburan bagi memperkukuh pasukan Harimau Selatan itu, selepas tewas di tangan Buriram United 0-1 dalam aksi Liga Juara-Juara Asia Elite (ACLE) 2024/25 malam tadi.
Pemilik JDT Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim dalam satu hantaran di laman X menzahirkan bahawa pasukannya itu telah pun mengenal pasti beberapa kelemahan, selain sudah mempunyai perancangan baharu sejak beberapa bulan yang lepas untuk memperbaiki skuad berkenaan.
“Ia sentiasa menjadi satu penghormatan dan keistimewaan bagi JDT untuk beraksi dalam kejohanan elit Asia. Saya berbangga dengan kelab ini yang berjuang habis-habisan untuk mencapai tahap yang lebih tinggi.
“Namun, kami tidak bernasib baik untuk tersingkir dengan cara sebegini dalam perlawanan malam tadi, termasuk beberapa keputusan,” titah baginda menerusi hantaran di laman X awal pagi tadi.
Tunku Ismail bertitah bahawa baginda mahu mengambil tanggungjawab sepenuhnya dengan kekalahan JDT malam semalam, selain bertekad meletakkan Johor di peta bola sepak dan bersaing dengan pasukan terbaik di Asia.
Kekalahan JDT di tangan Thailand Buriram United di Stadium di Stadium Sultan Ibrahim malam tadi turut menyaksikan skuad Harimau Selatan itu gagal mara ke peringkat suku akhir ACLE 2024/25.
Keputusan itu bagaimanapun mengulangi pencapaian skuad Harimau Selatan yang dilakar pada saingan ACLE edisi 2022.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial