KUCHING, 13 Mac (Bernama) -- Skuad Kuching City FC perlu mengekalkan prestasi cemerlang bagi menewaskan Selangor FC Ahad ini sekali gus mengukuhkan kedudukan dalam kelompok empat teratas Liga Super 2024/2025.
Jurulatih Aidil Sharin Sahak mengakui cabaran sukar menanti menentang The Red Giants, namun yakin sorakan penyokong mampu memberi suntikan semangat buat The Cats memburu kemenangan.
“Kami harap penyokong hadir kerana sorakan mereka mampu meningkatkan semangat pemain dan prestasi pasukan. Perlawanan menentang Selangor FC bukan mudah kerana mereka memiliki barisan pemain berkualiti.
“Kemenangan dalam tiga aksi terakhir menentang Kelantan, Pahang dan Kedah memberi suntikan positif, tetapi kami perlu terus memperbaiki permainan dan mengekalkan konsistensi bagi mengekalkan kedudukan dalam kelompok empat atau lima teratas,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, malam tadi.
Dalam aksi Liga Super semalam, The Cats memintas Terengganu FC untuk berada di tangga keempat selepas menewaskan KDA FC 3-0.
Mengulas prestasi pasukan di gelanggang sendiri, jurulatih kelahiran Singapura itu berkata The Cats berjaya memberi tekanan kepada KDA FC walaupun lawan menurunkan pemain berpengalaman di babak pertama.
“Kami berjaya mendapatkan gol awal, memberi tekanan sejak separuh masa pertama, dan ia mengubah rentak permainan pada separuh masa kedua. Kami juga membuat beberapa pertukaran pemain sebagai persiapan menghadapi Selangor FC,” katanya.
Selepas 21 perlawanan, Kuching City FC kini di tangga keempat dengan 33 mata, satu mata di hadapan Terengganu FC.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial