SUKAN > BERITA

REXY PUAS HATI PRESTASI PEARLY-THINAAH

15/03/2025 12:10 PM

KUALA LUMPUR, 15 Mac (Bernama) -- Pengarah kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM) Rexy Mainaky berpuas hati dengan prestasi beregu wanita negara Pearly Tan-M Thinaah di Seluruh England 2025 di Birmingham, biarpun terkandas di suku akhir semalam.

Beliau berkata di sebalik kecederaan ditanggung Pearly bermula di pusingan kedua, kedua-dua mereka tetap meneruskan perjuangan di kejohanan Super 1000 yang berprestij itu dengan cukup baik.

"Dengan kecederaan dipikul Pearly lepas bermain tempoh hari, mereka tetap dapat berikan perlawanan cukup baik (hingga suku akhir)," katanya ringkas ketika dihubungi.

Pada perlawanan pusingan kedua Khamis lepas, Pearly-Thinaah bermula dengan baik di set pertama dengan kemenangan 21-16 dan kekal tidak dapat dihalang pada set kedua sambil mendahului 15-7 pasangan Indonesia, Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti.

Pearly yang mengalami kecederaan buku lali, enggan mengibar bendera putih tetap  meneruskan permainan dan mengabaikan kesakitan dialami sebelum melengkapkan permainan dengan kemenangan 21-14 untuk menempah slot suku akhir.

Cabaran beregu di ranking kelima dunia itu bagaimanapun berakhir selepas Pearly-Thinaah tewas kepada gandingan Jepun, Chiharu Shida-Nami Matsuyama 17-21, 19-21.

Ia merupakan kali keempat gandingan Pearly-Thinaah tersingkir di peringkat suku akhir dalam lima penampilan di kejohanan berprestij itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan