KUALA LUMPUR, 16 Mac (Bernama) -- Jaguh boling padang wanita negara Nor Farah Ain Abdullah berisiko kehilangan status pemain nombor satu dunia jika tidak aktif menyertai kejohanan di luar negara tahun ini.
Menyedari perkara itu, Nor Farah berkata mempertahankan ranking bukan tugas mudah kerana perlu bertanding di luar negara bagi mengutip mata yang turut melibatkan perbelanjaan tinggi.
Beliau berkata kekangan bajet dalam sukan itu memaksa atlet untuk mengetepikan penyertaan dalam beberapa kejohanan tertentu.
“Nak mempertahankan ranking sebenarnya tak lah mudah sebab kita perlu ke luar negara (sertai kejohanan) dan kita tahu bajet sukan kita macam mana, jadi mungkin dalam setahun ada pertandingan yang kita tak boleh pergi, ada yang boleh pergi.
“Bagi saya sasaran untuk (kekalkan) nombor satu mungkin agak susah tapi untuk lapan teratas boleh,” kata atlet berusia 24 tahun itu ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa Persekutuan Lawn Bowls Malaysia (PLBM) di Arena Lawn Bowls Bukit Kiara, baru-baru ini.
Nama Nor Farah mencuri perhatian selepas beliau berjaya melakar sejarah meraih pingat emas dalam acara individu wanita pada Kejohanan Boling Padang Dalam Dewan Dunia 2024 di Guernsey, Channel Islands, pada April tahun lepas.
Awal bulan ini, atlet berasal dari Kuala Selangor itu terus mengharumkan nama Malaysia apabila mencipta sejarah dengan bergelar pemain nombor satu dunia awal bulan ini.
Kini, fokus Nor Farah tertumpu untuk melakar satu lagi pencapaian gemilang pada Kejohanan Boling Padang Dalam Dewan Dunia 2025 di Aberdeen, Scotland dari 20 hingga 25 April.
“Saya sebagai juara bertahan, sasaran saya untuk mengekalkan kejuaraan itu,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial