KUALA LUMPUR, 29 Mac (Bernama) -- Program Pembangunan Sepak Takraw Negara (NSTDP) yang bakal dilancarkan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) pada April ini, meletakkan sepak takraw setanding dengan sukan lain yang sudah mempunyai program pembangunan khusus.
NSTDP yang merupakan kesinambungan kepada program pembangunan sedia ada sebagai medium melahirkan lebih ramai pemain berbakat serta berkualiti untuk diketengahkan, perlu mendapat kerjasama kukuh di peringkat negeri agar keputusan positif dapat dihasilkan.
Jika pencarian bakat baharu program pembangunan sedia ada lebih tertumpu kepada kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM), NSTDP dengan kerjasama Majlis Sukan Negara (MSN) dan Kementerian Pendidikan (KPM) akan menumpukan kepada pencarian bakat di peringkat sekolah melibatkan murid berusia 10 hingga 17 tahun.
Pemain apit kanan skuad negara Muhammad Shahalril Aiman Halim berkata semua negeri boleh memainkan peranan masing-masing untuk mencari bakat baharu bagi sukan sepak takraw menerusi NSTDP itu.
"Pada masa sama, bakat yang dicungkil ini akan menjadi penyambung kepada legasi pemain sedia ada," katanya.
Sebelum ini, sukan dengan pelaksanaan program pembangunan khusus ialah hoki (NHDP), bola sepak (NFDP), ragbi (NRDP) dan bola jaring (NNDP) telah menampakkan hasil melalui beberapa pencapaian pemain di pentas antarabangsa.
Selain NSTDP, Muhammad Shahalril Aiman berkata satu lagi inisiatif PSM iaitu Akademi Sepak Takraw Malaysia (ASTM) juga akan menjadi kenyataan pada Jun tahun ini.
“Dengan adanya akademi ini, ia merupakan sesuatu yang baik untuk generasi akan datang. Ia akan beri nilai tambah kepada pemain supaya lebih bersemangat untuk bersaing,” katanya.
Sukan sepak takraw menunjukkan peningkatan selepas mengecapi beberapa kejayaan di pentas antarabangsa selain mencipta sejarah apabila muncul juara berganda pada Piala Dunia Sepak Takraw 2024, menewaskan musuh tradisinya Thailand.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial