JOHOR BAHRU, 7 April (Bernama) -- Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah hari ini berkenan merasmikan pelancaran livery jentera baharu dan barisan pemandu pasukan Johor Motorsport Racing (JMR) bagi musim GT3 2025 di 'Permaisuri Zarith Sofiah House’ di sini.
Baginda diiringi oleh Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor, Raja Muda Johor Tunku Iskandar Tunku Ismail, serta anakanda dan cucunda baginda.
Dalam majlis penuh gilang-gemilang itu, JMR memperkenalkan jentera baharu mereka – Corvette Z06 GT3.R – yang tampil dengan livery biru dan perak ikonik pasukan, berasaskan model pengeluaran Corvette Z06 generasi kelapan.
Barisan pemandu musim ini menampilkan gandingan hebat: Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim, Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim serta pemandu profesional antarabangsa – Alexander Sims dari Britain dan Jordan Love dari Australia.
Tunku Abdul Rahman turut menegaskan JMR merupakan satu-satunya pasukan di Asia yang akan beraksi dengan jentera Corvette musim ini.
"Kami bangga bekerjasama dengan Chevrolet untuk membawa kejayaan mereka di peringkat antarabangsa ke benua Asia. Kami tidak sabar untuk memulakan perjalanan ini dan merangka pelan jangka panjang bersama,” katanya.
Pengurus pasukan Andrew Simpson pula menyatakan keyakinannya terhadap prestasi pasukan musim ini berdasarkan kemajuan yang dicapai sejak penubuhan JMR.
"Sejak saya mula bersama JMR pada 2018, saya melihat peningkatan ketara dalam prestasi Tunku Abdul Rahman dan Tunku Abu Bakar...kini mereka bersaing untuk podium pada setiap perlumbaan.
"Kami akan membuat penampilan sulung musim ini di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dari Khamis hingga Ahad ini. Ujian pramusim menunjukkan potensi positif dan kami yakin jentera Corvette baharu mampu memberi saingan sengit sepanjang musim,” katanya.
Dari tahun 1999 hingga 2023, pasukan Corvette Racing yang dikendalikan Pratt Miller Engineering mencatat 127 kemenangan, termasuk sembilan kejuaraan di 24 Hours of Le Mans dan empat di Rolex 24 di at Daytona.
Kejayaan itu turut menyumbang kepada 14 gelaran Pengeluar, 15 Kejuaraan Pemandu dan 16 gelaran Pasukan – menjadikan mereka pasukan paling berjaya dalam sejarah Persatuan Permotoran Antarabangsa (IMSA).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial