KUALA LUMPUR, 8 Apr (Bernama) -- Beregu campuran profesional, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie mara ke pusingan kedua Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2025 di Ningbo, China hari ini.
Pilihan ketiga kejohanan itu menewaskan gandingan India, Sathish Kumar Karunakaran-Aadya Variyath 21-18, 21-19.
Menanti pasangan suami isteri itu pemenang perlawanan antara gandingan Thailand Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran dengan beregu Filipina Julius Villabrille-Airah Mae Nicole Albo.
Turut mara satu lagi pasangan beregu campuran negara, Yap Roy King-Valeree Siow yang menumpaskan Rohan Kapoor-Gaddhe Ruthvika Shivani dari India 18-21, 21-17, 21-17.
Mereka akan bertemu sama ada pilihan kelapan dari Jepun, Hiroki Midorikawa-Natsu Saito atau beregu Macau Leong lok Chong-Ng Wen Chi yang akan beraksi lewat malam ini.
Terdahulu, wakil perseorangan lelaki dan wanita negara, Justin Hoh dan Wong Ling Ching melepasi pusingan kelayakan untuk melangkah ke pusingan pertama.
Justin muncul juara Kumpulan A selepas mengetepikan cabaran wakil Iran Amirhossein Hasani 21-6, 21-14 dan Jewel Angelo Albo dari Filipina 21-14, 21-9.
Beliau dijadualkan bertemu pemain utama Korea Selatan, Jeon Hyeok Jin esok.
Sementara Lin Ching mengungguli Kumpulan A perseorangan wanita selepas menang tanpa bertanding susulan penarikan diri wakil Hong Kong, Happy Lo dan menang ke atas pemain Myanmar Thet Htar Thuzar 21-16, 21-11.
Pemain yang berada di ranking ke 103 dunia itu akan bertemu perseorangan Indonesia, Komang Ayu Cahya Dewi bagi merebut slot ke pusingan kedua.
Dalam pada itu, hasrat untuk melihat dua lagi pasangan beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin dan Wong Tien Ci-Lim Chiew Sin meneruskan aksi ke pusingan kedua tidak kesampaian selepas mereka tewas di tangan lawan masing-masing.
Pang Ron-Su Yin terpaksa akur kepada gandingan India, Dhruv Kapila-Tanisha Crasto, 21-15, 12-21, 11-21 manakala Tien Ci-Chiew Sin tunduk kepada gandingan Jepun Yuichi Shimogami-Sayaka Hobara dari Jepun 16-21, 14-21.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial