SUKAN > BERITA

70 PASUKAN AMBIL BAHAGIAN DALAM KEJOHANAN BOLA SEPAK TUJUH SEBELAH ANTARABANGSA PSC TAHUN INI

09/04/2025 11:54 AM

GEORGE TOWN, 9 April (Bernama) -- Kejohanan Bola Sepak Tujuh Sebelah Antarabangsa ke-24 PSC sudah bersedia untuk menghiburkan peminat bola sepak tempatan, dengan mencatatkan rekod penyertaan 70 pasukan daripada kelab tempatan dan antarabangsa.

Kejohanan tahunan anjuran bahagian bola sepak Kelab Sukan Pulau Pinang (PSC) itu dijadualkan berlangsung pada 12 dan 13 April ini di padang PSC, menampilkan kategori Veteran, Masters dan Grandmaster.

Pengerusi Penganjur A.Balasubramaniam berkata lebih 60 peratus pasukan yang mengambil bahagian adalah dari luar negara.

“Sebanyak 18 pasukan mengesahkan penyertaan bagi kategori Veteran, 28 untuk Masters, dan 24 untuk Grandmasters. Antara yang mengambil bahagian ialah pasukan dari Australia, China, Hong Kong, Indonesia, Vietnam, Singapura, Maldives dan Brunei.

“Selain itu pasukan hebat dari Malaysia datangnya dari negeri Pulau Pinang, Kedah, Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor, serta Sabah dan Sarawak,” katanya kepada pemberita pada sidang media di sini malam tadi.

Beliau berkata sebelum ini kebanyakan pasukan yang mengambil bahagian menampilkan ramai bekas pemain antarabangsa dan bekas pemain kebangsaan.

“Bagi peminat bola sepak, ini akan menjadi peluang terbaik untuk melihat aksi bintang antarabangsa dari Malaysia, Indonesia, Brunei, Singapura, Maldives, Australia, Vietnam, Hong Kong dan China,” tambahnya.

Balasubramaniam berkata antara bekas bintang bola sepak yang dijangka beraksi dalam edisi kali ini ialah Tan Cheng Hoe, S.Suresh Kumar dan K. Nanthakumar.

Beliau berkata selain menggalakkan gaya hidup sihat, kejohanan itu turut menyumbang kepada sektor pelancongan sukan negeri, kerana ramai peserta akan turut ditemani ahli keluarga mereka.

Selain itu, kejohanan tersebut turut menyediakan platform untuk bekas pemain kembali ke padang, membantu menyemarakkan semangat dan minat dalam kalangan generasi muda terhadap sukan bola sepak.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan