TANAH MERAH, 11 April (Bernama) -- Impian penduduk Tanah Merah khususnya di Gual Ipoh, di sini, untuk memiliki sebuah kompleks sukan kini hampir menjadi kenyataan, apabila projek pembinaan fasa pertama kompleks sukan bakal dimulakan pada awal Mei ini.
Kompleks sukan yang dirancang itu, akan dibina di atas tanah seluas 15.33 ekar yang telah diwartakan sebagai rizab rekreasi dan riadah. Terletak secara strategik di tengah Gual Ipoh, berhampiran masjid, balai polis, klinik, Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) serta pekan utama, lokasi itu dijangka memudahkan akses penduduk setempat.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Perpaduan, NGO dan Perpaduan Masyeakat Negeri Kelantan Bahari Mohamad Noor berkata fasa pertama projek, melibatkan pembinaan sebuah padang bola sepak lengkap dengan astaka, yang dijangka siap penghujung tahun ini.
“Kerja-kerja pembinaan akan bermula Mei ini dengan kos RM200,000 yang telah diluluskan kerajaan negeri. Ketika ini projek sedang dalam proses perolehan dan sebut harga kepada kontraktor.
“Padang ini juga akan dilengkapi lampu limpah bagi membolehkan aktiviti sukan pada waktu malam, selain pembinaan trek balapan,” katanya kepada Bernama di tapak projek Kompleks Sukan Gual Ipoh, di sini, baru-baru ini.
Bahari berkata kompleks sukan itu turut dirancang untuk dilengkapi fasiliti lain secara berfasa, termasuk gelanggang sepak takraw, gelanggang futsal, dewan utama, surau, taman permainan kanak-kanak dan kiosk.
“Pengurusan kompleks ini akan melibatkan kerjasama Majlis Daerah Tanah Merah yang berpengalaman dalam penyelenggaraan fasiliti seperti padang, tandas dan kemudahan lain.
“Buat masa ini saya tidak dapat menyatakan jumlah keseluruhan kos pembangunan, namun apa yang penting ialah tanah telah diwartakan untuk riadah dan rekreasi, dan itu satu langkah besar,” katanya.
Bahari berkata mana-mana agensi negeri atau Persekutuan juga boleh tampil menyumbang untuk mempercepatkan proses pembangunan kompleks tersebut.
“Saya sendiri telah menulis surat kepada Kementerian Belia dan Sukan. Jika mendapat bantuan di peringkat Persekutuan, pembangunan kompleks ini akan lebih cepat, hasil kerjasama diantara kerajaan negeri dan Persekutuan,” katanya.
Sementara itu, penduduk tempatan Muhammad Shukri Abd Rashid, 60, berkata kewujudan kompleks sukan itu dijangka memberi manfaat ekonomi kepada penduduk.
“Ia akan membuka peluang kepada penduduk untuk berniaga kerana banyak kejohanan dan aktiviti sukan boleh dianjurkan di sini.
“Kompleks ini juga berpotensi memacu kemajuan Gual Ipoh dan menarik pelaburan lain seperti pembukaan pasar raya dan perniagaan baharu,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Che Sanusi Ismail, 29, menyifatkan pembinaan kompleks sukan itu amat bertepatan kerana tiada kemudahan bersukan yang lengkap di kawasan tersebut.
“Di Gual Ipoh, padang bola pun tiada untuk anak muda. Dahulu kami bermain di padang sekolah, tetapi kini tidak dibenarkan atas sebab-sebab tertentu.
“Jika mahu bermain futsal, kami perlu ke bandar Tanah Merah hampir 25 kilometer jauhnya. Malah untuk bermain bola waktu malam, kami terpaksa ke Pasir Mas atau Kota Bharu,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial