KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub menyifatkan kehadiran semula kelab tersohor Liga Perdana Inggeris, Manchester United, ke Malaysia selepas 16 tahun sebagai detik bermakna buat bola sepak negara.
Menurutnya, perlawanan tersebut bukan sahaja menjanjikan aksi bertaraf dunia, malah menjadi lambang kemajuan dan perkembangan budaya bola sepak di rantau ini.
Aksi persahabatan yang diberi nama Maybank Challenge Cup itu bakal menyaksikan Manchester United menentang skuad ASEAN All-Stars bimbingan ketua jurulatih skuad kebangsaan Vietnam, Kim Sang Sik, di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 28 Mei ini.
“Perlawanan ini istimewa buat Malaysia kerana ia eksklusif untuk negara dalam kalangan negara ASEAN. Menjadi tuan rumah kepada kelab sebesar Manchester United adalah satu penghormatan besar untuk bola sepak Malaysia dan rantau ini.
“Perlawanan ini juga bakal memperkukuh budaya bola sepak yang semakin berkembang di ASEAN. Kami menyeru para penyokong hadir beramai-ramai ke stadium dan memberi sokongan padu yang akan dikenang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Presiden Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) Mejar Jeneral Khiev Sameth menyifatkan perlawanan tersebut sebagai satu detik bersejarah buat bola sepak rantau ini.
“Menonton pemain terbaik rantau ini menentang salah satu kelab terbesar dunia bukan sahaja satu pengalaman bersejarah, malah menjadi penanda aras kepada mutu bola sepak ASEAN.
“Pertembungan ini turut melambangkan keyakinan, komitmen dan perpaduan dalam kalangan negara anggota,” katanya.
Untuk rekod, kali terakhir Manchester United beraksi di Malaysia ialah pada siri jelajah pramusim 2009, apabila mereka menewaskan Malaysia XI dua kali — 3-2 dan 2-0 — masing-masing pada 18 dan 20 Julai di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Selain perlawanan di Malaysia, juara Eropah tiga kali itu turut memaklumkan bahawa jelajah pascamusim mereka akan diteruskan dengan aksi menentang Hong Kong pada 30 Mei di Stadium Hong Kong.
Ini merupakan kepulangan semula Manchester United ke Asia selepas kemenangan 4-0 ke atas Liverpool di Bangkok pada Julai 2022, manakala kali terakhir mereka beraksi di Hong Kong ialah pada 2013.
Selepas siri jelajah di Asia, skuad The Red Devils akan menentang Leeds United di Stockholm pada 19 Julai sebelum berlepas ke Amerika Syarikat untuk menyertai Siri Musim Panas Liga Perdana.
Mereka dijadual bertemu West Ham United (26 Julai), Bournemouth (30 Julai) dan Everton (3 Ogos).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial