KUALA LUMPUR, 12 April (Bernama) -- Pemain remaja dari Jepun, Daichi Hayashi, muncul juara Kejohanan Golf Malaysia Kanak-Kanak Amerika Syarikat (AS) 2025 selepas terus mempamerkan aksi cemerlang pada hari ketiga pertandingan itu di Kelab Golf & Country Glenmarie di sini hari ini.
Meskipun permainan bermula lewat dua jam susulan hujan, tidak menjadi penghalang untuk Hayashi mengekalkan momentum dalam kategori umur 15-18 tahun lelaki dengan catatan satu di bawah par 71, setelah sebelum ini mencatatkan tiga di bawah par 69 pada pusingan pertama dan lima di bawah par 67 pada pusingan kedua.
Beliau turut mengungguli gelaran keseluruhan (Gross) lelaki dengan jumlah pukulan 207.
“Hujan lebat sebelum tee off menjadikan padang sedikit lebih sukar untuk dimainkan tetapi saya mengekalkan fokus untuk memastikan tidak melakukan kesilapan yang boleh menjejaskan skor,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan penganjur kejohanan SportExcel.
Wakil Jerman, Sean Fickert, menduduki tempat kedua dengan keseluruhan 224 pukulan manakala tempat ketiga pula menjadi milik Jaehoon Cheong dari Korea Selatan yang menamatkan saingan dengan 226 pukulan.
Sementara itu, pemain negara menunjukkan prestasi baik dengan memenangi tujuh daripada 13 gelaran kategori umur yang dipertaruhkan.
Yi Belle Ngo mencuri tumpuan apabila muncul juara kategori umur 15-18 tahun perempuan dan turut membawa pulang gelaran keseluruhan (Gross) selepas melakukan 221 pukulan.
Seramai 77 pemain golf junior termasuk warga asing mengambil bahagian dalam kejohanan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial